34 individu disoal siasat sertai himpunan Warisan


Jason Santos

Dua naib presiden Warisan Peter Anthony (kiri) dan Junz Wong antara yang disoal siasat polis berhubung penyertaan dalam beberapa himpunan di Kota Kinabalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

SERAMAI 34 individu dipercayai dipanggil oleh polis kerana menyertai sekurang-kurangnya lapan perhimpunan membabitkan Parti Warisan Sabah di Kota Kinabalu bulan lalu.

Naib Presiden Warisan Junz Wong berkata beliau nampak nama 34 individu dalam senarai polis, terdiri daripada 30 ahli parti dan empat Pakatan Harapan (PH).

“Saya dimaklumkan saya dilaporkan lapan kali berkaitan perhimpunan itu.

“Sesetengah yang lain ada enam atau tujuh laporan polis dibuat terhadap mereka.

“Tidak dapat dipastikan kenapa ahli PH juga dipanggil polis, tetapi saya percaya seseorang buat laporan polis terhadap mereka,” katanya.

Antara yang dipanggil daripada Warisan ialah naib presiden Peter Anthony, ketua Pemuda Azis Jamman, timbalan ketua Pemuda Nicholas Chak dan ketua Wirawati Munirah Majilis dan koordinator Sepanggar Norazmi Alimat.

Kebanyakan perhimpunan itu diadakan berhampiran kompleks mahkamah Kota Kinabalu ketika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan reman untuk tiga ahli Warisan.

Terdapat juga perhimpunan di taman bandar raya dan di kompleks pentadbiran persekutuan, serta acara menyalakan lilin.

Ketua Polis Kota Kinabalu M. Chandra ketika dihubungi enggan mengulas perkara itu. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen