31 mangsa terkandas di Bukit Bendera berjaya diselamatkan


Looi Sue-Chern

Kumpulan pertama mangsa terkandas di Bukit Bendera diselamatkan menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat dan dipindahkan ke pangkalan FRU di Padang Tembak hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

PIHAK berkuasa berjaya menyelamatkan 31 orang yang terkandas di Bukit Bendera sejak ribut melanda negeri itu pada hujung minggu lalu menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua polis daerah Timur Laut Anuar Omar berkata kebanyakan daripada mangsa ialah pelawat yang terperangkap di bukit itu sejak Sabtu.

Empat daripada mereka penduduk tempatan.

Sementara 12 orang lagi termasuk warga Filipina dan Indonesia sedang dalam perjalanan turun dari bukit itu, kata Anuar.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada mereka yang melawat bukit itu bagi acara keagamaan pada Sabtu.

“Mereka terperangkap selepas ribut disebabkan perkhidmatan kereta api dihentikan dan laluan jip ditutup akibat tanah runtuh pada Ahad.

“Seramai 12 orang daripada mereka cukup sihat untuk menuruni bukit berjalan kaki, jadi pegawai kami menemani mereka ke bawah. Tidak ada lagi orang yang terkandas di situ,” katanya.

Helikopter berkenaan melakukan tiga kali perjalanan untuk memindahkan mangsa ke pangkalan Pasukan Simpanan Persekutuan di Padang Tembak.

Ketika tiba, kumpulan pertama terdiri daripada 10 warga emas dan lima kanak-kanak berusia 2 hingga 8 tahun diberikan pemeriksaan kesihatan dan dipindahkan ke Kompleks Masyarakat Penyayang.

A. Usha Rani, 61, antara yang diselamatkan menggunakan helikopter berkata walaupun mereka terkandas, mereka tidak panik kerana diberi perlindungan di Hotel Bellevue dan makanan, serta masih boleh berkomunikasi dengan keluarga.

Usha Rani berkata pendaki juga mendaki bukit itu untuk menghantar makanan dan ubatan kepada mereka.

Fathima Gopal, 54, berkata semua orang dijaga dengan baik sepanjang terkandas.

“Kami diberikan makanan. Berlaku gangguan bekalan air dan elektrik tetapi sekejap saja,” katanya.

Seorang ibu dua anak yang mahu dikenali sebagai Wong berkata, semua ahli keluarganya termasuk anaknya berusia enam tahun dan sembilan bulan, dalam keadaan baik.

Perkhidmatan kereta api di Bukit Bendera dihentikan selepas lumpur dan memenuhi landasan kereta api itu akibat hujan ribut pada Ahad.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Cheok Lay Leng berkata kerja membaiki akan dilakukan dan mengambil masa antara tiga hingga empat minggu sebelum kereta api boleh beroperasi semula. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen