107 disyaki koronavirus dikuarantin, kata menteri kesihatan


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya berjaya mengesan 22 orang tyang mempunyai kontak rapat dengan pesakit ke-18, termasuk tiga ahli keluarga dan 19 kakitangan perubatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

SERAMAI 107 orang dikuarantin di hospital kerajaan di seluruh negara serta di bawah pemantauan di rumah susulan wabak koronavirus, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

“Setakat 10 pagi hari ini, kita mengkuarantin 107 orang. Mereka ini mempunyai kontak rapat dengan individu yang diuji positif virus itu,” katanya.

Hari ini, Dzulkefly mengesahkan kes ke-18 negara - seorang lelaki yang baru saja pulang dari China - dan mendedahkan kementerian berjaya mengesan 22 orang mempunyai kontak rapat dengannya, termasuk tiga ahli keluarga dan 19 kakitangan perubatan.

Lelaki itu, yang bekerja di Macau, pulang ke tanah air pada 1 Februari sebelum jatuh sakit dua hari kemudian.

Beliau mendapatkan rawatan di tiga pusat perubatan yang berbeza sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh selepas didiagnosis dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 7 Februari.

Beliau disahkan sebagai kes koronavirus ke-18 semalam.

Sementara itu, Dzulkefly berkata pada masa ini, tiada keperluan untuk pekerja mula bekerja dari rumah kerana virus itu.

“Pada masa ini, keadaan tidak sampai ke peringkat kita membenarkan pekerja bekerja dari rumah. Tidak ada lagi tanda kerajaan akan mengambil langkah itu,” katanya.

Di China, AFP melaporkan jumlah kematian akibat epidemik koronavirus melonjak kepada 904 hari ini selepas wilayah Hubei yang paling terjejas melaporkan 91 kematian baru.

Kini terdapat lebih 39,800 kes disahkan di seluruh China, berdasarkan angka yang dikeluarkan sebelum ini daripada kerajaan.

Virus baru itu dipercayai muncul tahun lalu di pasaran yang menjual hidupan liar di ibu negeri Hubei, Wuhan, sebelum tersebar ke seluruh negara.

Satu-satunya kematian yang disahkan di luar tanah besar adalah warga China di Filipina dan seorang lelaki berusia 39 tahun di Hong Kong.

Angka itu mengatasi jumlah kematian global yang disebabkan oleh virus SARS, yang membunuh 774 orang antara 2002 dan 2003. – 10 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen