KEMENTERIAN Kesihatan telah mengesan 22 individu yang mempunyai hubungan rapat dengan seorang lelaki berusia 31 tahun yang diuji positif jangkitan koronavirus semalam.
Menterinya, Dr Dzulkefly Ahmad memberitahu pemberita pada petang ini bahawa tiga individu adalah anggota keluarga lelaki itu sementara 19 yang lain adalah kakitangan perubatan.
“Lelaki yang bekerja di Macau tersebut pergi ke klinik swasta selepas jatuh sakit sebaik sahaja pulang dari China, kemudian sekali lagi dia pergi ke klinik kerajaan selepas tidak menunjukkan peningkatan sebelum dia dirujuk ke Hospital Banting.”
“Dari Hospital Banting, dia dihantar ke Hospital Sungai Buloh. Beberapa kakitangan perubatan tidak memakai peralatan perlindungan peribadi dan kami telah mengesan mereka,” kata Dzulkefly.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan mengesahkan kes ke-18 koronavirus di negara ini.
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata lelaki itu pada mulanya didiagnosis dengan sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS).
Di China, AFP melaporkan bahawa jumlah kematian akibat epidemik koronavirus melonjak ke 904 hari ini selepas wilayah Hubei melaporkan 91 kematian baru.
Dalam kemaskini harian, jawantankuasa kesihatan Hubei juga mengesahkan 2,618 kes baru di kawasat pusat wilayah itu, di mana wabak itu muncul pada bulan Disember.
Kini terdapat lebih daripada 39,800 kes disahkan di seluruh China, berdasarkan angka yang dikeluarkan sebelum ini daripada kerajaan.
Sementara itu, Dzulkefly berkata enam orang rakyat Malaysia yang telah diuji positif jangkitan virus itu masih dalam keadaan stabil.
“Mereka masih berada di wad pengasingan dan mereka stabil, doalah supaya mereka sembuh tidak lama lagi,” katanya. – 10 Februari, 2020.
Komen