Pengundi tentera peluang menteri menang PRU14, kata Bersih 2.0


Noel Achariam

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata SPR perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana mereka tahu mengenai pemindahan pengundi tentera itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

TIGA Menteri Kabinet kanan yang menang dengan majoriti tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) berpeluang untuk menang seklai lagi dengan kehadiran pengundi tentera yang diragui di kawasan masing-masing, kata Bersih 2.0.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0 Shahrul Aman berkata, 1,079 pengundi tentera berpindah ke kem Segamat (Johor), 1,234 ke kem Bera (Pahang) dan 1,411 ke kem Hutan Melintang (Perak) dimana ketiga-tiga menteri memenangi kerusi mereka pada PRU13.

Ini menujukkan pemindahan dibuat kepada kerusi Parlimen dan DUN, yang dimenangi dengan majoriti tipis pada PRU13, terutamanya yang dipegang ketiga-tiga menteri Kabinet.

“Ini bermotifkan politik dan dilakukan untuk mempengaruhi keputusan pilihan raya menerusi undi pos atau pengundian awal,” katanya di pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya hari ini.

Shahrul berkata mereka mendapat tahu mengenai pengundi tentera selepas memeriksa senarai pemilihan suku ketiga 2017.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein  perlu menjawab kenapa anggota tentera didaftarkan untuk mengundi di kem-kem terbabit sedangkan ia masih dalam pembinaan dan sama ada perkara ini juga berlaku di kem-kem lain,” katanya.

Sebelum ini Hisahmmuddin menepis dakwaan ahli Parlimen pembangkang tentang pemindahan tentera di Segamat, Johor yang ia strategi Barisan Nasioanal (BN) bagi menghadapi PRU14.

Shahrul berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menjelaskan isu ini.

“Nampaknya SPR berkonspirasi dengan beberapa individu untuk laksanakan tindakan tidak sah ini.

“Kami mahu SPR segera membatalkan pemindahan pengundi tentera. Pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mesti siasat perkara ini kerana ia adalah kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya. 

Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 Rama Ramanathan berkata pada PRU13, Menteri Kesihatan S. Subramaniam menang kerusi Segamat dengan majoriti 1,217 undi.

Subramaniam menang 20,037 undi manakala bekas ketua PKR Johor Chua Jui Meng mendapat 18,820 undi.

“Sekarang ada pemindahan 1,079 pengundi tentera ke kem Segamat.

“Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Ismail Sabri menang majoriti 2,143 undi. Sekarang akan ada 1,234 undi di kem Bera,” katanya.

Ismail menang dengan 21,669 undi mengalahkan Zakaria Abdul Hamid dari PKR yang memperoleh 19,526 undi.

Rama berkata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hanya menang tipis dengan majoriti 2,108 undi.

Zahid memperoleh 17,176 undi manakala Madhi Hasan dari PKR 15,068 undi.

“Sekarang, akan ada 1,411 pengundi tentera di kem Hutan Melintang di Bagan Datok.

“Ini bagi memastikan dan menjamin kemenangan ketiga-tiga menteri dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata SPR perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana mereka tahu mengenai pemindahan pengundi tentera itu.

“Kami juga mahu tahu jika mereka telah memaklumkan pengundi yang alamat mereka telah berubah dan mengapa kawasan baru diwujudkan. Mereka mesti tampil dan jelaskan tindakan mereka,” katanya. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen