Pertikaian tanah pribumi Sarawak berakhir, keputusan memihak kepada pemaju


Bede Hong

Peguam Dominique Ng yang mewakili penduduk pribumi Sarawak bersama dengan wakil 80 keluarga di Istana Kehakiman, Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

PERJUANGAN selama 13 tahun ratusan orang asal Sarawak untuk mendapatkan semula tanah adat mereka berakhir hari ini selepas keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada kerajaan negeri dan syarikat perladangan kelapa sawit. 

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif memutuskan sebulat suara memihak kepada rayuan yang dibuat oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (Pelita ) - sebuah agensi pembangunan tanah Sarawak - anak syarikatnya Pelita Holdings Sdn Bhd; sebuah syarikat usaha sama Tetangga Akrab Pelita (Pantu) Sdn Bhd; dan kerajaan Sarawak terhadap keputusan Mahkamah Rayuan Januari 2015 yang memutuskan untuk memihak kepada pemilik tanah asli.

Empat hakim yang lain adalah Suriyadi Halim Omar, Zainun Ali, Balia Yusof Wahi dan Jeffrey Tan.

Pelita dan Pantu kedua-duanya adalah syarikat pemaju kelapa sawit. 

Lebih 80 keluarga mengambil tindakan undang-undang pada 2004 untuk mendapatkan semula tanah 6,870 hektar di Pantu, dekat Sri Aman. 

Keputusan mahkamah hari ini bermakna mereka hanya boleh mendapatkan pampasan untuk kerugian mereka di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam yang mewakili keluarga terbabit berkata langkah terakhir yang boleh diambil adalah dengan memfailkan semakan.

“Maafkan saya,” kata peguam Dominique Ng kepada wakil 80 keluarga yang hadir ke mahkamah hari ini. 

“Sudah pasti kami akan cuba untuk memfailkan semakan, namun ia beban yang sangat besar,” katanya.

“Ini adalah penamatnya. Kita tidak pasti keputusan semakan, jika ia dibenarkan.”

Pemimpin pemilik tanah dan masyarakt berkenaan Hilarian Bisi Jingot dari Julau dekat Sibu meluahkan kekecewaannya terhadap keputusan itu. 

“Keputusan hari ini…Saya sangat, sangat sedih. Kami tidak mahukan wang. Kami hanya mahukan tanah kami kembali. Ia adalah darah dan hidup kami.”

Aktivis Zul Haidah dari Pujut, Miri berkata keputusan berkenaan adalah “tidak adil” kepada masyarakat berkenaan, yang dihalau dari tanah mereka sendiri. 

“Saya sangat kecewa. Ia tidak adil kepada kami. Semuanya sudah dibuktikan, namun keputusan yang dibuat, semuanya sebelum ini diketepikan. 

“Ia sangat tidak adil. Kami orang asal di kawasan ini, sekarang mereka halau kami.”

Disember lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Hak Adat Anak Negeri (NCR) “pemakai menoa” dan “pulau galau” (rizab hutan kaum) tiada kuasa undang-undang di Sarawak dan tuntutan mereka hanya terpakai untuk “temuda” (tanah pertanian) dan bukan kawasan hutan di sekitar rumah panjang. 

Aktivis hak tanah Dayak berkaya keputusan mahkamah itu tidak mengambil kira undang-undang asal yang tidak tertulis yang dipanggil Adat. 

“Keputusan hari ini juga bermakna tanah adat, NCR atau kawasan tanah asal - walaupun digazetkan, walaupun kerajaan mengiktiraf ia milik masyarakat asal - ia masih boleh hilang,” kata Ng.

“Bagaimana mereka kehilangannya? Dengan memfailkan arahan pembangunan di bawah ordinan LCDA dengan perjanjian kerjasama antara syarikat usahasama.”

Ng berkata dalam kes ini, syarikat usahasama Kim Loong Resources Berhad memiliki 60% kawasan pembangunan.

“Dan Kim Loong bukan masyarakat asal. Malah bukan rakyat Sarawak,” katanya. 

“Kini syarikat bukan milik rakyat Sarawak boleh memiliki tanah yang digazetkan sebagai tanah asli di Sarawak.”

Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru, Cobbold John berkata keputusan hari ini boleh memberi kesan terhadap 400 pertikaian tanah asli yang belum selesai. 

“Semua pihak termasuk komuniti Dayak, kehilangan tanah asli mereka.

“Walaupun mereka memberikan pampasan, kami akan terus memperjuangkan hak kerana ia akan memberi kesan terhadap kes lain di masa akan datang. Semua orang asli perlu ingat isu ini.

“Hanya dengan menukar kerajaan boleh mengubah kes ini. Kita tidak boleh bergantung kepada sistem kehakiman lagi,” katanya.

Parti itu dan beberapa kumpulan aktivis merancang untik mengadakan perhimpunan di Kuching pada 13 November ini bagi menuntut pindaan kanun tanah negara untuk menangani keputusan Mahkamah Persekutuan.

Pindaan itu juga akan dibentangkan di sidang Dewan Undangan Negeri, yang akan memulakan pembentangan bajetnya Rabu depan, namun Timbalan Menteri Douglas Uggah yang mengetuai Jawatankuasa pemakai Menoa, Pulau Galau yang ditugaskan menyediakan cadangan pindaan itu, masih belum membuat kertas cadangan. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen