Peniaga Ropewalk tertekan, Lorong Kulit makin suram


Zaim Ibrahim

Peniaga di Ropewalk, Lorong Kulit Hashimah Said Ibramsa mengeluh apabila pengunjung mulai tidak ramai ke bazar barangan lama itu. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Februari, 2020.

SETIAP hari seawal pukul 7 pagi, Hashimah Said Ibramsa bersama suaminya membuka gerai di Ropewalk, Lorong Kulit untuk menjual barangan antik.

Namun sejak beberapa tahun lalu, hasil perniagaanya kian menurun apabila pengunjung mulai tidak ramai ke bazar barangan lama itu.

Tidak ramai yang datang untuk melihat barangan antik termasuk yang diperolehinya dari luar negara seperti topi selam, telefon antik dan barangan tembaga.

Ketika ditemui The Malaysian Insight di kedainya di Ropewalk, Lorong Kulit di Datuk Keramat, beliau mengeluh kerana pada hari itu beliau tidak mendapat seorang pelanggan pun.

“Sejak akhir-akhir ini, perniagaan kami sangat teruk. Kalau dulu setiap hari kita ada pelanggan, tetapi sekarang nak dapat seorang pun susah.

“Barang-barang antik yang kita jual, orang jarang lagi nak beli. Kita banyak harapkan pelanggan tetap,” kata beliau yang telah berniaga di Ropewalk sejak lebih 10 tahun lalu.

Disebabkan itu, hasil jualannya banyak terjejas.

“Harga yang kita jual boleh ditawarkan. Ada yang hanya berpuluh ringgit, ada yang mencecah RM1,000.

Seorang penjaja menjual cincin dan batu permata di Ropewalk, Lorong Kulit, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

“Tapi (dengan) keadaan perniagaan sekarang, kadang-kadang (hasil) RM1,000 sebulan pun belum tentu,” tambahnya.

Ropewalk pada asalnya terletak di Lorong Chulia, yang menempatkan kedai menjual tali untuk kapal yang berlabuh.

Pada sekitar tahun 1990, penjual barang antik berkenaan berpindah ke Lorong Kulit dan para peniaga semakin bertambah.

Kedudukannya kini bersebelahan Stadium Bandaraya, tidak jauh dengan Rumah Kelahiran Seniman Agung P Ramlee.

Selain itu terdapat juga pasar menjual barangan am, buah-buahan dan makanan.

Selain menjual barangan antik, Ropewalk menjadi tumpuan peminat barangan terpakai seperti baju, kasut kulit, dan tali pinggang berjenama serta pelbagai cenderamata.

Menurut seorang penjual barangan elektrik terpakai, A. Kanan,46, pendapatannya beberapa tahun lalu boleh mencecah RM2,500.

“Dua tiga tahun lepas sebulan boleh dapat RM2,000 atau RM2,500 (sebulan), sebab pelanggan ramai waktu itu.

“Mereka datang untuk tengok dan ada saja tertarik untuk membeli, kalau Sabtu dan Ahad boleh dapat RM300 hingga RM400.

“Berbeza sekarang, saya boleh dapat RM1,000 sahaja sebulan dan syukurlah anak ada yang boleh bantu beri duit bulan-bulan,” kata beliau yang mula berniaga sejak hampir 20 tahun lepas.

Antara barangan yang dijual di Ropewalk, Lorong Kulit, Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight, 10 Februari, 2020.

Jelasnya, barang-barang elektrik terpakai masih ada pembeli kerana beliau tidak menjual barangan yang rosak.

“Saya ambil daripada pusat kitar semula dan saya akan baiki segala kerosakan. Saya jual pun ada jaminan, kalau rosak boleh beri semula untuk dibaiki secara percuma,” tambahnya.

Peniaga tersebut bernaung bawa Persatuan Penjaja-penjaja Kecil Lorong Kulit (PPPKLK) Pulau Pinang, Setiausahanya Syamsul Zulkifly berkata, terdapat 493 penjaja berdaftar berniaga di situ.

Beliau berharap kerajaan dapat menaiktaraf pasar lambak tersebut sebagai produk pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Pelancong-pelancong yang gunakan bas pelancong, saya harap boleh letakkan Lorong Kulit sebagai destinasi mereka. Kerajaan negeri juga perlu promosikan Lorong Kulit di media.

“Di sini ada buah-buahan dan makanan tempatan, dan terdapat pelbagai barangan yang unik dijual untuk kenangan pelancong,” kata beliau.

Jelas beliau, perkara itu pernah diusulkan kepada kerajaan negeri sejak 2008 tetapi, tiada tindakan susulan hingga ke hari ini.

“Kawasan ini perlu dinaikkan sebagai tempat pelancongan, ia strategik, berdekatan dengan Georgetown dan Rumah P Ramlee. Ia satu potensi pelancongan yang besar,” tambahnya lagi. – 11 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen