ANWAR Ibrahim akan menjalani pembedahan di bahagian bahu pada 12 November ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dedah keluarganya.
Ketua Umum PKR itu terpaksa dibedah berikutan kesakitan dialaminya sejak 2015 yang menjadi semakin teruk selepas terbabit kemalangan pada 22 September lalu.
“Bapa kami kini tiada pilihan selain terpaksa menjalani pembedahan yang tidak dapat dielak kerana kesakitan yang berlarutan.
“Kami, ahli-ahli keluarga beliau, amat risau dengan tahap kesihatan dan keselamatan bapa kami kerana pembedahan ini mempunyai risiko kerana keadaan beliau pada masa kini, salah seorang anaknya, Nurul Nuha Anwar dalam satu sidang media di kediamannya hari ini.
Anak ketiga Anwar itu turut meminta jaminan kerajaan agar tiada sebarang campur tangan dalam pembedahan itu.
“Satu dunia tahun Anwar adalah tahanan politik. Kami khuatir dengan pengalaman yang kami lalui dahulu. Jadi kami ingin menekankan agar diberikan ruang sepenuhnya untuk pihak hospital,” katanya.
Anwar pernah terbabit dalam kemalangan pada 2014 sewaktu menaiki kereta bersama isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail di Desa Sri Hartamas.
Kemalangan itu menyebabkan Anwar mengalami keretakan tulang di bahagian bahu kanannya.
Nuha berkata kesihatan Anwar merosot sejak dimasukkan ke penjara pada 2015 sehingga menyebabkan beliau sukar menggerakkan tangan kanan.
“Sejak pemenjaraan politik beliau, kecederaan ini telah bertambah teruk. Pada September 2015, beliau mula mengadu tentang kecederaan ini yang mengakibatkan kesakitan sepanjang masa,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjalani hukuman penjara sejak Februari 2015 atas sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
Semalam, lebih 200 penyokong bekas ketua pembangkang itu berarak dari Parlimen ke Dataran Merdeka sebagai memperingati hari ke-1,000 beliau dipenjara di Sungai Buloh.
Perarakan sejauh 2.5 kilometer itu diketuai oleh ketua pembangkang yang juga isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sepanjang perarakan mereka menjerit slogan “Bebas Anwar” dan “Reformasi”, slogan untuk perubahan yang dilaungkan sejak Anwar dipecat daripada Kabinet pada 1998.
Dalam pada itu, keluarga Anwar turut berharap kerajaan memberi jaminan semua rawatan perubatan yang diperlukan Anwar tanpa sebarang campur tangan.
Nuha turut menggesa bapa mereka diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan pemulihan di hospital.
“Ini memandangkan akses kepada kemudahan tersebut cukup terhad untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh,” katanya.
Selain Nuha, dua adik beradiknya Nurul Ilham dan Nurul Iman yang turut mengendalikan sidang media dan Facebook live mahu kerajaan membenarkan badan-badan hak asasi manusia bertemu Anwar.
Ia bagi memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan.– 7 November, 2017.
Komen