PERMINTAAN terhadap durian terjejas teruk di China akibat wabak koronavirus, menyebabkan pengeksport Malaysia mengalami kerugian, tempahan berkurangan dan ada kemungkinan bil untuk buah yang sudah dihantar, tidak akan dibayar.
Hikmahnya ialah penggemar durian dalam negara bakal menerima lambakan bekalan pada harga lebih murah.
Presiden Persatuan Pengeksport Durian Malaysia Sam Tan berkata China mengimport sejumlah besar durian ketika menjelang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi epidemik koronavirus menyebabkan kejatuhan dalam pembelian yang ketara.
“Pengedar di China menyediakan stok durian yang banyak sebagai persediaan sambutan Tahun Baharu Cina, tetapi sekarang mereka tidak boleh menjualnya.
“Saya risau kami akan menerima pengurangan tempahan atau pembatalan untuk kumpulan durian berikutnya. Kami akan hanya tahu bila tempoh cuti musim bunga tamat,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.
Pengarah Urusan Top Fruits Sdn Bhd Tan Sue Sian berkata China melanjutkan tempoh cuti susulan daripada wabak itu, pada mulanya 30 Januari ke 2 Februari, dan sekarang hingga 9 Februari.
Katanya, isu itu akan lebih jelas minggu ini, untuk memastikan sama ada berlaku pengurangan tempahan atau sebagainya.
Sue Sian berkata durian biasanya tidak ada musim selepas cuti musim bunga hingga Jun, dan pengeskport durian akan hanya bersiap sedia mengikut keadaan.
Sementara itu, Tan berkata pembekal membekukan durian mereka untuk simpanan selepas membersihkan buah supaya mereka masih boleh mengambil tempahan ketika bukan musim buah.
“Tiada siapa menjangka sebaik saja kita masuk tahun tikus, wabak ini akan berlaku. Ramai pengeksport menjangkakan lebih banyak tempahan diterima pada musim bunga dan akan terus menerima tempahan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Virus Wuhan betul-betul rosakkan rancangan kami,” katanya.
Wabak itu bermula di Wuhan, China di wilayah Hubei, enam minggu lalu, dan setakat ini menjangkiti lebih 34,000 dan mengorbankan 800 orang, kebanyakannya di China. Malaysia mengesahkan 17 kes jangkitan.
Tan tidak menolak kemungkinan pembatalan tempahan, berkata ia gelombang pertama kerugian yang akan ditanggung pembekal, dengan gelombang kedua membabitkan penurunan permintaan untuk durian beku selepas musim cuti.
Katanya, sebahagian pengeksport akan mengalihkan stok mereka kepada pasaran tempatan bagi mengurangkan kerugian.
“Tetapi permintaan tempatan terhad, kebanyakan produk durian yang sudah diproses sepatutnya dijual di China,” katanya.
Sue Sian berkata durian beku bersama kulitnya boleh disimpan hingga 18 bulan dan pengeksport mungkin akan menyimpan stok ketika musim durian.
“Tetapi secara amnya, jumlah durian dieksport ke China tidak memenuhi permintaan,” katanya. – 10 Februari, 2020.
Komen