Bantuan banjir Pulau Pinang disalur sebagaimana di Kelantan, kata Najib 


Muzliza Mustafa

Perdana Menteri Najib Razak bertanya khabar kepada salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan ketika mengadakan lawatan di Seberang Perai Tengah, hari ini. Turut serta pada lawatan itu, isteri beliau Rosmah Mansor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 November, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang akan menerima bantuan yang sama yang disalurkan kepada kerajaan Kelantan ketika negeri itu dilanda banjir besar, kata Perdana Menteri Najib Razak. 

Najib dan isterinya Rosmah Mansor berada di Pulau Pinang hari ini untuk melawat mangsa banjir di kawasan Seberang Perai Tengah. 

Beliau diberikan taklimat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang berhubung situasi yang menjejaskan ribuan penduduk di negeri itu berikutan hujan lebat dan angin kencang yang melanda Pulau Pinang pada Ahad.

“Kita telah mengenal pasti 13 projek tebatan banjir bernilai RM1 bilion. Buat masa ini Kerajaan Persekutuan meluluskan dana sebanyak RM150 juta untuk projek berkenaan. 

“Kerajaan Persekutuan  juga akan mempertimbangkan dana tambahan berdasarkan kapasiti kewangan kita. Saya turut meminta untuk mengadakan pertemuan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah banjir menerusi proses tebatan,” katanya pada sidang media yang diadakan di Sekolah Agama Rakyat Ar-Ridwan Tasek Gelugor.

Katanya, kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kebajikan dan keselamatan rakyat. 

“Ia sudah menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan. Itu adalah sikap kita. Jadi bila air naik di Kelantan, kami bantu. Sama seperti Pulau Pinang. Kami juga akan bantu,” kata Najib.

Kedua-dua negeri Kelantan dan Pulau Pinang diterajui parti pembangkang iaitu DAP dan parti Islam PAS. 

DAP merupakan parti pakatan pembangakng di bawah Pakatan Harapan yang ditubuhkan dengan satu tujuan - untuk menumbangkan pertadbiran Najib pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu PAS merupakan sebuah parti yang mempunyai hubungan rapat dengan Umno, sebuah parti politik Melayu yang juga sebahagian daripada Barisan Nasional, iaitu parti yang memerintah negara sejak 60 tahun lalu. 

Pada 2014, Kelantan dilanda banjir besar yang mana ramai pihak mendakwa ia berpunca daripada aktiviti pembalakan di negeri itu.

Kira-kira 200,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka.

Di Pulau Pinang, jumlah mangsa banjir mencatatkan penurunan kepada 6,080 hari ini berbanding 6,243 berikutan keadaan air yang mula surut.

Najib berkata, kerjasama antara kedua-dua kerajaan negeri dan Persekutuan adalah baik dan kedua-dua pihak bekerjasama sepanjang malam untuk membantu mangsa banjir.

“Daripada menyelamat mangsa hingga kepada agihan makanan dan selimut dan ini disahkan oleh ketua menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) tentang bagaimana kami membantu rakyat di negeri yang dilanda bencana alam.

“Kerajaan Persekutuan sedia membantu dengan arahan daripada saya dan timbalan perdana menteri. USecara umumnya rakyat berpuas hati dnegan bantuan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan,” katanya.

Dalam lawatannya hari ini, Rosmah turut menyampaikan sumbangan RM110,000 kepada Pusat Pembangunan Pulau Pinang dan agensi bencana alam negeri. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen