Helikopter digunakan untuk selamatkan mangsa terkandas di Bukit Bendera


Looi Sue-Chern

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera, Cheok Lay Leng berkata pasukan penyelamat kini berusaha untuk sampai kepada kumpulan pertama yang terkandas di pusat pelancongan itu. – Gambar The Malaysian Insight, 7 November, 2017.

MANGSA yang terkandas di Bukit Bendera sejak ribut pada hujung minggu lalu akan diselamatkan menggunakan helikopter.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC), Cheok Lay Leng berkata pasukan penyelamat kini berusaha untuk sampai kepada kumpulan pertama di situ.

Kumpulan pertama seramai 31 orang, dengan keutamaan diberi kepada warga emas dan kanak-kanak, akan diterbangkan ke pangkalan Unit Rizab Persekutuan di Padang Tembak, Air Itam sebelum dihantar ke Kompleks Penyayang Masyarakat, katanya.

“Terdahulu, kita bimbang tiada tempat untuk mendaratkan helikopter bagi misi menyelamat.

“Pasukan penyelamat kini akan menggunakan tapak di balai kerajaan Bel Retiro sebagai helipad sementara di bukit,” katanya kepada pemberita di stesen kereta api yang ditutup di kaki bukit.

Cheok berkata 52 orang yang terkandas di atas bukit adalah tetamu hotel, penghuni di situ dan beberapa penduduk tempatan lain, baik dan mempunyai perlindungan yang sesuai sejak ribut hujung minggu.

Beliau berkata 36 orang – kebanyakannya daripada kumpulan yoga Pulau Pinang - ditempatkan di Hotel Bellevue, dan semuanya mempunyai bekalan makanan dan air mencukupi.

“Semua orang mempunyai tempat berlindung dan makanan. Nasib baik kita tahu di mana mereka semua.

“Bekalan air terputus pada mulanya kerana paip pecah. Tetapi bekalan kembali semula secara berperingkat,” katanya.

Beliau menambah tiada kakitangan PHC atau mereka yang bekerja di tempat-tempat tarikan pelancong di atas bukit itu terkandas.

“Semua kakitangan kami membantu dan menolong usaha pembersihan. Ada yang membantu Jabatan Kerja Raya di trek jip,” katanya.

Funikular itu ditutup sejak Ahad kerana ribut membawa lumpur dan serpihan ke landasan kereta api.

Tanah runtuh di kira-kira 30 lokasi di sepanjang trek jip dari Taman Botani Pulau Pinang ke Bukit Bendera juga menutup jalan masuk kepada pasukan penyelamat.

Ribut yang melanda Pulau Pinang, menyebabkan angin kencang dan banjir kilat, menjejaskan kira-kira 80% negeri itu.

Semalam, lebih 7,000 orang dipindahkan. Bagaimanapun, bilangan itu menurun kepada lebih 5,000 pada pagi ini. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen