PEMIMPIN politik Sarawak bertambah yakin dengan keputusan mereka keluar daripada Barisan Nasional (BN) selepas melihat keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini.
Mereka mendakwa PRK itu menjadi bukti memang seharusnya mereka memutuskan hubungan dengan parti berpangkalan di Semenanjung Malaysia dan terus menjadi parti bebas.
PRK itu menunjukkan parti yang berpangkalan di Borneo akan kehilangan sokongan jika ia dilihat seiring dengan parti dari Semenanjung, sama ada parti pemerintah Pakatan Harapan atau pembangkang BN.
Parti Warisan Sabah (Warisan) Sabah ditolak oleh pengundi Kimanis kerana ia seiring dengan PH, kata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Calon Warisan, Karim Bujang dikalahkan dengan majoriti 2,029 undi pada PRK bulan lepas oleh calon BN, Mohamad Alamin.
Penganalisis politik memberitahu The Malaysian Insight, pemimpin GPS dijangka akan menggandakan agenda “kedaerahan” untuk memenangi pilihan raya Sarawak yang dijangka diadakan tahun depan.
Adun Muara Tuang Idris Buang berkata walaupun Kimanis berada di Sabah, terdapat pengajaran yang boleh diambil oleh GPS daripada PRK itu.
“Walaupun dikatakan sebagai parti Sabah, Warisan tidak dilihat sebagai pejuang kepentingan Sabah kerana hubungannya dengan PH,” kata Idris dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
“Oleh itu, satu pelajaran berharga yang kita pelajari daripada PRK itu adalah GPS mestilah sama sekali bebas daripada mana-mana parti Malaya sama ada PH atau BN,” katanya.
GPS terdiri daripada empat parti, PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Keempat-empatnya sebelum ini adalah sebahagian daripada BN tetapi meninggalkan gabungan itu selepas ia kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei 2018.
Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata blok itu akan kekal bebas meskipun ada ahli politik Semenanjung cuba meraih sokongan mereka. – 9 Februari, 2020.
Berita penuh di sini
Komen