Malaysia tidak akan tingkatkan amaran virus, kata Wan Azizah


Alfian Z.M. Tahir

The Straits Times melaporkan semalam bahawa Singapura telah meningkatkan respons terhadak wabak koronavirus kepada "Kod Oren" berikutan "risiko yang lebih tinggi". – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 8 Februari, 2020.

MALAYSIA tidak akan mengikuti keputusan Singapura yang meningkatkan tahap amaran berikutan wabak koronavirus kerana keadaan masih di bawah kawalan, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata Malaysia tidak lama lagi akan mengadakan perbincangan dengan republik itu berkenaan isu ini.

“Kami akan adakan perbincangan dengan Singapura tidak lama lagi, kita berbeza dengan Singapura, kita bimbang dengan kes-kes tular, namun ketika ini hampir semua kes adalah daripada warga China,” kata Dr Wan Azizah.

“Kami tidak mahu kes-kes jangkitan di antara warga Malaysia, yang tidak pernah pergi ke China atau mempunyai hubungan dengan sesiapa sahaja dari China, itu apa yang kita teliti. Kes-kes yang sporadik.”

Ditanya sama ada Malaysia akan menghalang semua warga China, Wan Azizah berkata bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak memberi nasihat sedemikian.

“Kami tidak mahu menimbulkan panik, tetapi masih ada kawalan di sini, kita mesti seimbang, kita perlu jaga ekonomi kita dan kita juga harus berjaga-jaga dengan orang yang masuk (ke dalam negara),” katanya.

The Straits Times melaporkan semalam bahawa Singapura telah meningkatkan respons terhadak wabak koronavirus kepada “Kod Oren” berikutan “risiko yang lebih tinggi”.

Keputusan tersebut diambil selepas empat kes jangkitan tanpa apa-apa kaitan yang diketahui dari China atau orang yang telah dijangkiti, yang bermaksud penyakit ini mungkin tersebar di kalangan masyarakat.

Ia adalah kali kedua Singapura telah mengaktifkan “Kod Oren”. Yang pertama adalah ketika dilanda wabak selesema babi (H1N1) pada tahun 2009. Sistem pengkodan telah ditubuhkan selepas wabak SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk) pada tahun 2003.

Di bawah Sistem Tindak Balas Penyakit atau Dorscon, Kod Oren bermaksud wabak itu dianggap mempunyai impak terhadap kesihatan awam yang sederhana dan tinggi.

Malaysia setakat ini mencatatkan 16 kes jangkitan koronavirus dengan 12 daripadanya adalah warga China. Empat yang lain adalah rakyat Malaysia. Semua kes dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di wad pengasingan di beberapa hospital di seluruh negara.

Wabak itu bermula di Wuhan, China enam minggu lalu.

Jumlah kematian sehingga kini mencecah lebih dari 720 di China. Ia juga menjangkiti lebih daripada 34,400 orang di 27 negara. – 8 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen