Ribuan banjiri Batu Caves walau koronavirus membimbangkan


Noel Achariam

Thaipusam adalah perayaan bagi memperingati hari Dewi Pavarthi memberikan sebuah tombak kepada anaknya, Dewa Muruga, untuk membunuh syaitan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 8 Februari, 2020.

WALAUPUN kebimbangan terhadap novel koronavirus semakin meningkat, ribuan penganut Hindu berduyun-duyun berhimpun di Batu Caves, Selangor bagi meraikan Thaipusam.

Ribuan orang dilihat berjalan ke arah kuil berusia 234 tahun itu sejak pagi tadi.

Jawatankuasa yang menguruskan Kuil Sri Subramaniam di Batu Caves mengharapkan lebih daripada sejuta penganut Hindu dan pelancong melawat kuil itu semasa perayaan.

Ketika sambutan perayaan itu berlangsung, hanya segelintir pelawat dilihat memakai topeng muka.

Terdapat juga beberapa pelancong di sekitar kawasan kuil untuk melihat penganut Hindu melakukan ritual doa, seperti membawa bekas berisi susu dikenali sebgai “palukodam” dan kavadi.

Seorang pelawat Prem Anandan, 47, dan keluarganya melawat kuil itu setiap tahun, namun memutuskan untuk memendekkan doa mereka tahun ini.

“Kami tahu tentang virus itu, sebagai langkah berjaga-jaga, kami putuskan untuk melakukan doa secara cepat dan beredar.

“Kami biasanya berlama di sini, tetapi tidak tahun ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malaysia telah mengeluarkan larangan perjalanan terhadap pelawat dari wilayah Hubei China, termasuk ibu kotanya, Wuhan, kawasan di mana koronavirus pertama kali dikesan Disember lalu.

Virus Wuhan setakat ini telah membunuh 722 orang di China dan menjangkiti lebih daripada 34,400 orang di 27 negara.

Malaysia hari ini mengesahkan kes jangkitan ke-16, seorang wanita berusia 59 tahun dari Wuhan, pusat wabak itu, yang sedang bercuti di Johor Bahru.

Negara ini juga telah mengesahkan jangkitan pertama warga tempatan, seorang wanita berusia 40 tahun yang dijangkiti virus itu daripada saudaranya di Selangor.

L. Jegathiswary, 46, berkata, walaupun penganut bimbang terhadap virus tersebut, mereka mempunyai kewajipan untuk melakukan doa mereka.

“Kami risau dengan virus ini, tetapi kami perlu datang untuk raikan Thaipusam.

“Kami harap tidak ada yang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Thaipusam adalah perayaan bagi memperingati hari Dewi Pavarthi memberikan sebuah tombak kepada anaknya, Dewa Muruga, untuk membunuh syaitan.

Dewa Muruga, juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam, adalah sebuah penjelmaan Pavarthi bagi mengalahkan kejahatan dan memulihkan keamanan. – 8 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen