Letak jawatan, kata Dr Mahathir pada Trump


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata rakyat AS diharap akan membuat keputusan lebih baik pada pilihan raya akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

DENGAN Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bercadang untuk bertanding lagi dalam pilihan raya tahun ini, Dr Mahathir Mohamad berkata beliau berharap “rakyat AS akan membuat keputusan lebih baik”.

Perdana menteri menggesa Trump meletak jawatan susulan tuduhan beliau menyalahgunakan dasar luar AS untuk menindas pesaing politik, dan pelan damai Timur Tengah yang dibawanya dilihat sebagai pro Israel.

“(Nasihat saya pada Trump) ialah letak jawatan, dan saya harap rakyat AS akan membuat keputusan lebih baik (dalam pilihan raya),” katanya kepada wartawan selepas merasmikan Persidangan Ketiga Liga Parlimen Al-Quds di Petaling Jaya hari ini.

“Ini orangnya yang merendahkan peranannya dan dasar dengan cuba menggunakan tekanan luar untuk memenangi pilihan raya. Ia diterima di Amerika, tetapi tidak di sini.

“Mana-mana orang luar yang cuba mempengaruhi keputusan pilihan raya di sini, kita akan ambil tindakan terhadap mereka.”

Trump dalam usaha mengekalkan kuasa bagi penggal kedua di White House menerusi pertandingan pada November.

Disember tahun lalu, Dewan Rakyat mengundi untuk mendakwanya atas tuduhan mendesak Ukraine menyiasat anak lelaki bekas naib presiden Joe Biden.

Bagaimanapun, Senat yang dikawal anggota Republican membebaskan Trump pada Rabu.

Berkenaan hari mengundi di Israel pada bulan depan, Dr Mahathir berkata pilihan raya itu “palsu”.

“Pilihan raya di Israel adalah sesuatu yang tidak benar. Arab dan Israel tidak diberikan hak mereka, jadi pilihan raya itu bukan sesuatu yang nyata.” – 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen