Lim Guan Eng jumpa pemain industri pelancongan Isnin ini


Zaim Ibrahim

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri yang akan membuat keputusan lanjut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

LIM Guan Eng akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri pelancongan Isnin ini dalam rangka perbincangan dengan pelbagai pihak sebelum kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi.

Menteri Kewangan berkata hasil perbincangan itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, yang akan membuat keputusan untuk tindakan lanjut.

“Kita akan bawa ke depan pakej ransangan ekonomi. Saya akan bertemu pelbagai pihak Isnin depan, untuk bertemu dengan semua yang terbabit dengan sektor pelancongan.

“Kita akan adakan proses perbincangan. Kita harap selepas mesyuarat Kabinet dapat diputuskan (tindakan lanjut),” kata beliau dalam satu sidang media di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Ahad lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sedang menimbangkan pakej rangsangan yang akan memberi suntikan kepada ekonomi serta menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat, bagi menghadapi kesan penularan koronavirus baharu dari China (2019-nCoV).

Semalam Lim menjelaskan pakej itu bertujuan merangsang pertumbuhan ekonomi dan menegaskan Malaysia tidak berdepan risiko kemelesetan.

Awal hari ini, The Malaysian Insight melaporkan pakar ekonomi Soon Hoh Sing berkata ekonomi Asia termasuk Malaysia akan terjejas teruk jika wabak koronavirus baharu dari China ini berlanjutan sehingga selepas tiga bulan lagi.

Ini kerana China, lokasi utama penularan wabak itu, juga merupakan rakan dagangan terbesar di kebanyakan negara Asia.

Wabak yang bermula pada hujung Disember lalu setakat ini mengorbankan 722 nyawa di China, dengan 86 kes kematian terbaru dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Virus itu juga setakat ini menjangkiti 34,546 orang di 27 negara.

Bagi Malaysia, penurunan jumlah pelancong China ekoran penggantungan sementara visa masuk akan menjejaskan sektor pelancongan tempatan, makanan dan perniagaan.

Industri pelancongan akan terjejas. Kebanyakan pelancong datang dari China dan bukan Amerika Syarikat (AS). Rakyat China mempunyai kuasa membeli yang besar,” kata Soon.

The Malaysian Insight juga melaporkan, kawasan tumpuan pelancongan di Pulau Pinang dan Sabah mula lengang kerana kekurangan pelancong. – 8 Februari, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen