STRATEGI yang betul dan terancang untuk memenangi hati dan minda masyarakat seluruh dunia perlu bagi membawa keadilan kepada rakyat Palestin, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Hanya dengan bantah Israel sahaja tidak memadai. Untuk menang, kita perlu ada strategi untuk menangi hati dan minda masyarakat,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas Persidangan Ke-3, Liga Ahli Parlimen Untuk Al-Quds.
Dr Mahathir turut menyifatkan Amerika Syarikat dan Israel sebagai pembuli berikutan pelan damai kontroversi antara Palestin dan Israel yang dirancang Presiden AS Donald Trump.
“Apa yang negara berkuasa besar lakukan sekarang adalah mengesahkan perkara yang salah. Ini perbuatan buli, hanya kerana kamu kuat, kamu buli negara yang tiada kuasa.
“Tapi kami di Malaysia dan sebahagian masyarakat dunia akan mempertahankan rule of law,” kata Dr Mahathir.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut memberi contoh kelakuan Israel dengan Adolf Hitler di Jerman.
Menurutnya, Israel banyak belajar dari Hitler walaupun berdepan banyak tragedi ketika perang dunia kedua.
“Mereka banyak belajar dari Nazi Jerman, apa yang berlaku kepada orang-orang Yahudi di Jerman, mereka tidak menjadi bersimpati terhadap nasib Palestin dan mereka mencetuskan ketidakadilan,” jelasnya.
Pada perang dunia kedua, kira-kira enam juta orang Yahudi dibunuh oleh orang Jerman.
Sementara itu, Dr Mahathir turut membidas pelan damai Donald Trump di Baitulmaqdis yang disifatkan sebagai berat sebelah kepada yang dibuat antara AS dan Israel tanpa berunding dengan Palestin.
“Pelan damai ini hanya memperakui pihak yang kuat dan tidak mengendahkan hak golongan tertindas. Ia tidak akan iktiraf Palestin sebagai negara berdaulat, sebaliknya, ia akan meneruskan pendudukan seperti apartheid ke atas jutaan rakyat Palestin.
“Untuk menjadikannya lebih buruk, pelan damai ke atas kota suci Baitulmaqdis berpihak kepadaIsrael, tidak mengendahkan perasaan jutaan umat Islam dan Kristian di seluruh dunia. Perjanjian ini hanya akan membawa lebih banyak konflik di rantau ini, dan akan memberi kesan kepada berbilion-bilion orang di seluruh dunia,” katanya. – 8 Februari, 2020.
Komen