UM tangguh kuliah seminggu tangani virus Wuhan


The Malaysian Insight

Universiti Malaya membatalkan kuliah, tutorial dan kelas makmal itu berkuat kuasa antara 17 hingga 23 Februari ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

UNIVERSITI Malaya membatalkan semua kelas secara bersemuka selama seminggu bermula 17 Februari ini, dan menggantikannya dengan kelas secara dalam talian, sebagai langkah berjaga-jaga menangani penularan wabak koronovirus baharu (2019-nCoV).

Pembatalan kuliah, tutorial dan kelas makmal itu berkuat kuasa antara 17 hingga 23 Februari ini, kata Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Kamila Ghazali.

Beliau mengeluarkan arahan itu melalui satu emel kepada semua kakitangan akademik semalam, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.

“Mengambil kira situasi terkini penularan wabak ini, pengurusan universiti telah memutuskan agar semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka (seperti kuliah, tutorial, makmal) digantikan dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara tidak bersemuka bermula 17-23 Februari 2020.

“Kuliah akan berjalan seperti biasa bermula 24 Februari 2020,” katanya dalam pekeliling bertarikh 7 Februari itu.

Kakitangan akademik yang dihubungi oleh The Malaysian Insight mengesahkan menerima pekeliling tersebut.

Semua pensyarah juga diminta memuat naik bahan pembelajaran ke Spectrum, iaitu portal dalam talian untuk pelajar, sebelum 17 Februari ini bagi membolehkan pelajar mengakses dan memuat turun bahan berkenaan.

Pensyarah juga diminta memastikan perancangan kursus mengikut jadual dan mengadakan kelas gantian sekiranya perlu.

Serentak dengan itu, Universiti Malaya turut menangguhkan pendaftaran masuk pelajar untuk Semester 2 bagi sesi pengajian 2019/2020 yang dijadualkan pada 15 dan 16 Februari ini.

Dalam satu pekeliling berasingan kepada semua pelajar, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Profesor Dr Abdul Aziz Abdul Rahman memaklumkan pelajar supaya datang mendaftar masuk pada 23 dan 24 Februari di kolej kediaman masing-masing.

Pelajar yang sudah merancang perjalanan mereka untuk mendaftar masuk mengikut jadual asal turut diminta menghubungi kolej masing-masing.

Wabak yang bermula pada hujung Disember lalu setakat ini mengorbankan 722 nyawa di China, dengan 86 kes kematian terbaru dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Virus itu juga setakat ini menjangkiti 34,546 orang di 27 negara.

Malaysia mencatatkan kes ke-15 semalam melibatkan seorang pelancong wanita dari Wuhan, China yang tiba di negara ini bersama suami, anak lelaki dan menantunya pada 21 Januari lalu dari Singapura.

Daripada 15 jangkitan yang dilaporkan di Malaysia setakat ini, 11 melibatkan warga China dan empat warga Malaysia.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan juga mengesahkan kes pertama jangkitan tempatan iaitu seorang wanita warga tempatan yang tidak pernah ke China. Beliau mendapat virus itu daripada abangnya yang terlebih dahulu dijangkiti sebelum ini.– 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen