3 lagi penumpang kapal persiaran Jepun positif koronavirus 


Kapal persiaran Diamond Princess yang berlabuh di perairan Yokohama, Jepun kini dikuarantin susulan kes koronvirus.– Gambar EPA, 8 Februari, 2020.

TIGA lagi penumpang kapal persiaran di perairan Jepun disahkan positif koronavirus, kata kerajaan pada Sabtu.

Ia sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak itu setakat ini seramai 64 orang.

Kesemua penumpang kapal berkenaan kini dikuarantin selama dua minggu.

Kes terbaharu itu dikesan sehari selepas 41 penumpang disahkan positif wabak berkenaan yang meragut ratusan nyawa di China dan menjangkiti lebih 30,000 orang.

Setakat ini, pihak berkuasa Jepun menjalankan ujian ke atas 280 penumpang kapal persiaran Diamond Princess yang dikuarantin selepas terdapat penumpang yang turun di Hong Kong bulan lalu dijangkiti wabak itu.

Tiga daripada enam ujian yang dijalankan disahkan positif, kata kementerian kesiahtan tanpa memberi butiran lanjut.

Ketiga-tiga pesakit terbabit telah dikejarkan ke hospital, kata kementerian dalam satu kenyataan.

Terdapat lebih 3,700 penumpang dan kru kapal persiaran berkenaan yang tiba di perarian Jepun pada petang Isnin.

Ia berlabuh di Yokohama pada Khamis untuk mendapatkan bekalan bagi menjalani kuarantin sehingga 19 Februari.

Salah seorang penumpang yang dijangkiti wabak berkenaan kini dalam keadaan kritikal. Kebanyakan penumpang kapal berkenaan adalah warga emas yang berisiko tinggi dijangkiti virus itu.  – AFP, 8 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen