30 mangsa masih terkandas di Bukit Bendera


Looi Sue-Chern

Sebahagian pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, tentera, polis serta pasukan pertahanan awam yang diarahkan untuk menyelamatkan mangsa terkandas di Bukit Bendera, Pulau Pinang. – Gambar Faceook, 7 November, 2017.

LEBIH 30 mangsa masih terkandas di Bukit Bendera sejak negeri itu dilanda ribut pada hujung minggu lalu.

Polis berkata operasi untuk menyelamatkan mangsa, termasuk 20 lelaki, 10 warga emas dan dua kanak-kanak, masih diteruskan sejak mereka terperangkap pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Penolong Pesuruhjaya, Anuar Omar berkata pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba, tentera, polis serta pasukan pertahanan awam berdepan masalah menyelamatkan mangsa disebabkan tanah runtuh di bukit itu.

“Pihak polis dan semua agensi lain cuba menyelamatkan mereka dengan berjalan kaki. Semua akses (ke bukit) dengan kenderaan sangat sukar kerana tanah runtuh.

“Pasukan itu dipantau dengan helikopter untuk membantu jika misi menyelamatkan mereka gagal,” katanya kepada pemberita melalui mesej WhatsApp pagi ini.

Memandangkan hujan lebat yang juga membawa angin kencang ke negeri utara pada Sabtu lepas, perkhidmatan kereta api ke Bukit Bendera digantung mulai Ahad sehingga notis lanjut.

Dilaporkan landasan keretapi yang popular di kawasan itu diliputi lumpur dan salah satu cermin kereta api pecah disebabkan dahan pokok yang jatuh. – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen