Ekonomi Asia terjejas teruk jika krisis koronavirus lebih 3 bulan


Angie Tan

Penularan virus dan kebimbangan dijangkit wabak itu turut menjejaskan corak perbelanjaan penduduk tempatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Februari, 2020.

EKONOMI Asia termasuk Malaysia akan terjejas teruk jika epidemik koronavirus berlanjutan selama lebih tiga bulan, kata pakar ekonomi.

Sudah enam minggu sejak virus itu mengakibatkan lebih 600 orang maut di China dan menjangkiti lebih 30,000 orang di seluruh dunia.

Ini kerana China, lokasi utama penularan wabak itu, juga merupakan rakan dagangan terbesar di kebanyakan negara Asia.

Pakar ekonomi Soon Hoh Sing memberitahu The Malaysian Insight bahawa Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, Filipina, Singapura, Malaysia dan Thailand dijangka menerima kesan akibat penularan virus itu jika krisis ini berlanjutan selama lebih tiga bulan.

Permintaan eksport dari China akan menjadi lembab jika kuasa kedua ekonomi dunia mengalami kemerosotan ekoran virus itu.

China mempunyai pegangan saham swasta yang tinggi, maka kelembapan ekonomi akan menurunkan jumlah permintaan untuk barangan dan perkhimatan.

Perbelanjaan pengguna yang merupakan pemacu terbesar bagi pertumbuhan ekonomi negara itu, menyumbang 76.2% pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China pada tahun 2018.

Kehilangan kuasa membeli dalam kalangan rakyat China akan turut dirasai di negara Asia lain yang popular dengan destinasi pelancongan.

Bagi Malaysia, penurunan jumlah pelancong China ekoran penggantungan sementara visa masuk akan menjejaskan sektor pelancongan tempatan, makanan dan perniagaan.

“Industri pelancongan akan terjejas. Kebanyakan pelancong datang dari China dan bukan Amerika Syarikat (AS). Rakyat China mempunyai kuasa membeli yang besar,” kata Soon.

Beliau berkata jika wabak itu berterusan, Beijing mungkin mengambil langkah mengawal kadar pertukaran asing untuk memastikan nilai Renminbi tidak jatuh.

“Ini kemungkinan yang akan berlaku dan memberi kesan besar kepada negara-negara jiran.

“Namun saya berharap vaksin virus ini dapat ditemui dan situasi dikawal. Jika tidak kesannya pasti buruk,” katanya.

Soon berkata penularan virus dan kebimbangan dijangkit wabak itu turut menjejaskan corak perbelanjaan penduduk tempatan.

“Rakyat kurang pergi ke pusat beli belah, panggung wayang dan tempat yang sibuk.

“Saya percaya ramai orang kurang keluar rumah, jadi ini akan memberi kesan kepada perniagaan,” katanya. – 8 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen