Tak perlu panik kes jangkitan tempatan pertama koronavirus, kata menteri


Diyana Ibrahim

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad mengulas mengenai kes jangkitan pertama virus 2019-nCov melibatkan sesama rakyat negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

RAKYAT Malaysia tidak perlu cemas atau panik susulan kes jangkitan tempatan pertama novel koronavirus (2019-nCov) di negara ini, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya kes melibatkan wanita di Kedah yang diuji positif virus selepas berjangkit dari abangnya sendiri merupakan kes kontak rapat.

“Definasi kes itu melibatkan kontak rapat dan melibatkan jarak satu meter.

“Kes adik yang dijangkiti dari abangnya dalam kereta di Sungai Petani itu dikatakan kontak rapat.

“Sebab itu kita tidak perlu terlalu cemas atau panik.

“Misal kata kalau kita semua dalam satu bilik pun, jika kita lengkap dengan topeng muka dan ia memerlukan jarak satu meter untuk dijangkiti. Ini semakin terbukti secara saintifiknya,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya.

Beliau mengulas mengenai kes wanita yang berusia 40 tahun dari Sungai Petani disahkan positif virus 2019-nCov semalam.

Abang wanita itu disahkan positif 2019-nCov selepas pulang dari lawatan selama tujuh hari ke Singapura.

Wanita itu merupakan individu ke-13 dan abangnya individu kesembilan yang diuji positif virus 2019-nCov.

Terdahulu, Dr Dzulkefly berkata kes positif jangkitan virus kini bertambah menjadi 15 kes berbanding 14 sebelum ini.

Kes baharu itu melibatkan seorang wanita warganegara China berumur 59 tahun yang masuk ke Malaysia melalui Singapura pada 21 Januari lepas. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen