1 lagi kes positif koronavirus di Malaysia


Diyana Ibrahim

Malaysia kini mengesahkan 15 kes positif koronavirus, dengan kes terbaru melibatkan seorang pelancong wanita dari Wuhan, China. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

SATU lagi kes positif koronavirus disahkan membabitkan seorang pelancong wanita dari Wuhan, China, seterusnya menjadikan kes positif di Malaysia sebanyak 15 kes, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly mendedahkan wanita yang berusia 59 tahun itu bersama suami, anak lelaki dan menantunya tiba di Singapura sebelum memasuki Johor Bharu pada 21 Januari lalu.

“Beliau bersama suami, anak lelaki dan menantu tiba di Singapura pada 17 Januari 2020, mereka kemudiannya pergi ke Johor Baru pada 21 Januari 2020,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, wanita tersebut mula demam pada 26 Januari tetapi hanya mengambil ubat demam di farmasi tanpa mendapatkan rawatan dari pusat kesihatan.

“Beliau dijadualkan pulang ke China pada 4 Februari 2020 dengan menaiki penerbangan dari Johor Bharu ke Guang Zhou tetapi telah menangguhkannya kerana kurang sihat.

“Namun anak lelaki dah menantunya telah pulang pada tarikh tersebut,” katanya.

Tambahnya, ujian pengesanan dan pengesahan melaporkan wanita itu positif pada 6 Februari

Katanya, wanita itu kini dirawat di wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru dan berada dalam keadaan stabil, suami wanita itu juga dalam pemerhatian di hospital sama dan pihak berkuasa sedang menunggu keputusan ujian makmal.

Tambahnya, ujian juga sudah dilakukan ke atas tempat penginapan wanita itu di Johor Bharu termasuk pengesanan tempat yang dilawat dan kontak rapat.

“Kita tidak mahu menimbulkan sebarang kebimbangan. Apa yang penting adalah kita berjumpa dengan kontak rapat bersama wanita itu. Kita akan cari dan kesan mereka.

“Mereka juga tidak bergerak banyak tempat,” katanya.

Ditanya apakah dimaksudkan dengan pesakit dalam keadaan stabil, jawabnya ia merupakan keadaan pesakit tidak melebihi paras bahaya.

Dzuklefly berkata setakat ini 15 kes yang disahkan itu membabitkan 7 kes dalam kalangan kes Patient - Under - Investigation (PUI) jangkitan 2019 -nCOV, 6 kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

“Daripada jumlah itu,11 kes adalah warganegara China dan 4 warganegara Malaysia,” katanya

Pada masa sama beliau juga menyarankan golongan berisiko tinggi untuk menghadkan lawatan ke hospital jika tidak melibatkan urusan tidak penting.

“Golongan ini termasuk kanak- kanak, warga emas berusia 65 tahun ke atas pesakit dengan penyakit kronik pesakit dengan daya ketahanan badan yang rendah dan wanita hamil.

“Jika golongan ini masih perlu hadir ke hospital mereka dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kesihatan,” katanya. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen