Biro Politik PKR setuju Zuraida bercuti 


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata biro politik membuat keputusan itu selepas menerima surat Zuraida yang disampaikan oleh presiden parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2020.

BIRO Politik PKR meluluskan permohonan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin untuk bercuti daripada semua jawatan parti sementara prosiding siasatan disiplin terhadapnya selesai, kata Saifuddin Nasution Ismail.

Setiausaha agung PKR berkata biro politik membuat keputusan itu selepas menerima surat Zuraida yang disampaikan oleh Presiden parti, Anwar Ibrahim.

“Biro politik setuju dengan surat itu, yang mana beliau menyatakan hasratnya untuk bercuti,” kata Saifuddin kepada wartawan di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Zuraida mengesahkan beliau bercuti daripada semua jawatan parti sementara siasatan dalaman parti dijalankan terhadapnya kerana beliau sendiri adalah anggota biro politik.

“Prosedur untuk buat keputusan selalunya selepas daripada (siasatan) Lembaga Disiplin, ia akan dibentangkan kepada Biro Politik. Saya salah seorang ahli dalam biro politik.

“Jadi lebih baik saya berehat supaya mereka boleh membuat keputusan (dan saya) tidak mahu mempengaruhi keputusan biro berkenaan. Biro Politik akan membuat keputusan politik,” katanya, seperti dipetik media.

Dua hari sebelum itu, setiausaha politiknya Nor Hizwan Ahmad mengumumkan kepada media bahawa Zuraida menghantar surat cuti kepada Anwar pada Isnin.

Selain jawatan naib presiden PKR, Zuraida adalah juga ketua cabang Ampang.

Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan disiasat berhubung ucapannya yang didakwa memperlekehkan kepimpinan Anwar.

Sementara itu, mengenai tindakan saman fitnahnya terhadap Zuraida, Saifuddin berkata beliau menyerahkan perkara itu pada peguamnya.

“Saya serahkan pada peguam saya. Kami masih tunggu Zuraida untuk respons,” katanya.

Semalam, Zuraida turut mengesahkan beliau sudah menerima notis tuntutan daripada Saifuddin.

Pada masa sama, Zuraida juga berdepan tindakan mahkamah daripada setiausaha politik kepada Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Mereka mendakwa Zuraida mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap mereka pada majlis makan malam yang sama di Hotel Reinassance di Kuala Lumpur pada 8 Disember lalu. – 7 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen