Malaysia catat kes jangkitan tempatan pertama koronavirus, kata menteri


Alfian Z.M. Tahir

SEORANG wanita yang diuji positif novel koronavirus 2019 (2019-nCov) menjadi menjadi kes jangkitan tempatan pertama di negara ini selepas dijangkiti virus itu dari saudara kandungnya sendiri, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan itu berkata wanita berusia 40 tahun dari Sungai Petani itu dijangkiti virus itu dari abangnya yang pulang ke rumah untuk sambutan Tahun Baharu Cina pada 23 Januari lalu.

Jelas Dr Dzulkefly, abang wanita itu disahkan positif 2019-nCov selepas pulang dari lawatan selama tujuh hari ke Singapura.

“Apabila abangnya didapati positif virus itu, Jabatan Kesihatan mengesan keluarga mangsa dan ujian susulan menunjukkan adik perempuannya turut dijangkiti.

“Wanita itu kini dirawat secara berasingan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan berada dalam keadaan stabil,” katanya kepada media tentang perkembangan semasa wabak itu.

Dr Dzulkefly berkata wanita itu mengadu sakit tekak pada 1 Februari lalu dan batuk pada 4 Februari sebelum mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta.

Wanita itu merupakan individu ke-13 yang diuji positif virus 2019-nCov.

Dr Dzulkefly berkata semalam seorang warga China turut diuji positif virus itu dan kini berada di wad berasingan di Hospital Kuala Lumpur.

Katanya wanita berusia 35 tahun itu tiba di Kuala Lumpur pada 25 Januari bersama ibu dan tiga rakannya.

Mereka melawat beberapa tempat di bandar itu sebelum jatuh sakit pada 1 Februari. 

“Wanita itu kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas menunjukkan simptom seperti demam pada 1 Februari.”

“Dia disahkan dijangkiti virus itu pada 5 Februari,” katanya. – 6 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen