SETIAP tragedi atau bencana alam yang berlaku di negara ini, ia turut menonjolkan sikap baik dan prihatian rakyat Malaysia.
Ketika Pulau Pinang dikejutkan dengan kejadian banjir besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini sehingga merosakkan negeri ini pada hujung minggu, ramai rakyat biasa dari seluruh pelusuk negara memberikan bantuan.
Tidak terikat kepada mana-mana kumpulan atau organisasi, kebanyakan sukarelawan ini hanya sanggup mengorbankan masa menuju ke Pulau Pinang untuk menghulurkan bantuan kepada keperluan mendesak tenaga kerja dalam usaha mencari dan membantu.
Ernest Ong, pemilik restoran dari Kuala Lumpur, sering menjadi sukarelawan setiap kali ada bencana berlaku.
“Kita memang sudah lama melakukan kerja kebajikan. Biasanya kita memberi makanan. Sebelum ini saya terlibat semasa banjir di Temerloh, Pahang.
“Cuma kali ini saya bawa bot sebab terbaca yang mereka perlukan bot. Saya datang dari Kuala Lumpur untuk membantu,” katanya.
Seorang lagi sukarelawan, Abu Hassan berkata usaha kemanusiaan tidak seharusnya berdasarkan kepada kaum, politik atau agama.
“Apabila kita hendak memberi bantuan, tidak akan wujud perkara begitu. Kita sebenarnya tidak akan terpikir pun mengenai kaum atau latar belakang.
“Tapi yang kita lihat adalah ia bencana besar dan mereka memerlukan bantuan. Jadi, sebagai orang yang mempunyai kemampuan dari segi sumber saya tampil menolong,” katanya.
Abu Hassan memiliki kenderaan pacuan empat roda besar, yang berguna di kawasan ditenggelami air.
“Saya memang sudah lama terlibat dalam perkara sebegini dan ia seiring dengan hobi saya yang ada kereta pacuan empat roda. Pada masa sama saya boleh berbuat kebajikan,” kata lelaki berusia 55 tahun ini yang datang dari Kulim Kedah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata 80% negeri terjejas oleh ribut pada petang Sabtu lalu.
Putrajaya sudah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri, angkatan tentera, Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Pengurusan Bencana Nasional untuk membantu usaha bantuan di negeri ini.
Selangor menyumbangkan RM1 juta untuk membantu kerja-kerja bantuan dan pemulihan, serta mengarahkan semua agensi tempatan untuk membantu dalam usaha pembersihan.
Kelantan, di bawah kepimpinan PAS, juga memberi RM50,000 sebagai tambahan kepada penghantaran sukarelawan bagi membantu kerajaan negeri, manakala Johor menghantar 200 sukarelawan.
Ketika kritikan dan perdebatan tentang siapa yang harus dipersalahkan kerana berlakunya banjir, ribuan sukarelawan seperti Ong dan Abu Hassan adalah “kumpulan senyap” di sebalik usaha menyelamat dan membina semula di Pulau Pinang, dan terus memberi tumpuan kepada apa yang benar-benar penting.
“Kita semua rakyat Malaysia kalau anda rakyat Malaysia mempunyai masalah kita akan datang membantu. Tiada masalah,” kata Ong. – 7 November, 2017.

Komen