Pulau Pinang nafi tidak bersedia hadapi bencana banjir


Looi Sue-Chern

Kerajaan negeri menegaskan semua pasukan bertindaknya adalah terlatih, tetapi kesan yang meluas akibat hujan lebat selama 15 jam yang bermula pada petang Sabtu sesuatu yang di luar jangkaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 November, 2017.

KERAJAAN Pulau Pinang hari ini menepis kritikan yang mengatakan ia tidak bersedia dalam menangani banjir besar yang merosakkan negeri itu pada hujung minggu.

Menyedari suara ketidakpuasan akan menjadi isu yang lebih buruk, Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kebajikan dan Penyayang negeri, Phee Boon Poh memberitahu The Malaysian Insight bahawa malapetaka yang berlaku bukan kesan kegagalan persiapan kerajaan negeri untuk menghadapi bencana.

Phee berkata pasukan bertindak adalah terlatih, tetapi mengakui kesan yang meluas akibat hujan lebat selama 15 jam yang bermula pada petang Sabtu sesuatu yang di luar jangkaan.

Dan walaupun usaha bantuan berterusan untuk menyelamatkan ribuan orang lebih terjejas oleh bencana, kritikan juga membanjiri terhadap kekurangan pandangan jauh dan persediaan kerajaan negeri, yang dikatakan sesesetengah pihak menyebabkan kelewatan tindak balas kepada banjir.

“Pulau Pinang bersedia, tetapi setiap peperangan berbeza dan landskap berubah,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika kerja-kerja bantuan diteruskan di seluruh negeri.

“Bagaimanapun, dalam beberapa jam, kami dapat bangkit semula.”

Tujuh orang terkorban dan lebih 7,000 orang dipindahkan dari rumah mereka dan dihantar untuk tinggal di tempat perlindungan sementara di seluruh negeri.

Ia dilakukan selepas angin kencang dan hujan lebat yang menyebabkan tanah runtuh dan banjir melanda banyak negeri pada hujung minggu.

Tanah besar adalah bahagian paling teruk di landa banjir. Seberang Prai Utara mempunyai 22 pusat penempatan mangsa banjir dengan 4,549 orang, sementara Seberang Prai Tengah, 29 pusat dengan 2,430 orang. Seberang Prai Selatan pula terdapat tiga pusat dengan 371 mangsa.

Di bahagian pula, daerah timur laut mempunyai tiga pusat dengan 36 mangsa, sementara daerah barat daya terdapat dua pusat dengan 112 orang.

Phee juga menafikan dakwaan banjir disebabkan oleh pembangunan dan projek di kawasan dan lereng bukit – isu yang dibangkitkan kumpulan masyarakat sivil dan alam sekitar di Pulau Pinang susulan kejadian tanah runtuh pada bulan lepas di Tanjung Bungah, yang mengorbankan 11 orang.

Tujuh orang terkorban dan lebih 7,000 orang dipindahkan dari rumah mereka dan dihantar untuk tinggal di tempat perlindungan sementara di seluruh negeri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 7 November, 2017.

“Terdapat lebih ramai mangsa di tanah besar berbanding pulau, yang mempunyai banyak pembangunan,” kata Phee.

“Tiada projek cerun bukit di Seberang Prai Utara,” katanya.

Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Ahad berkata, 80% negeri dilanda banjir kilat, yang merupakan kejadian tidak dapat dielakkan memandangkan jumlah hujan yang turun adalah tertinggi dalam sejarah negara iaitu pada tahap 315mm – terlalu teruk bagi sistem saliran semula jadi dan buatan manusia untuk ditangani.

Pulau Pinang mengalami 119 banjir kilat antara 2013 dan bulan lepas. Ini bermaksud, sekurang-kurangnya 20 insiden setiap tahun – 22 banjir kilat pada 2013, 2014 (20), 2015 (26), 2016 (30) dan sehingga 15 Oktober (21).

Hantar bantuan tentera

Lim juga merayu kepada Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menghantar askar bagi usaha bantuan banjir.

Phee berkata kerajaan negeri terpaksa meminta pertolongan kerana ia tidak mempunyai peralatan dan kenderaan khusus yang dimiliki pihak tentera.

Terdapat juga kekurangan tenaga bagi melakukan kerja lapangan, katanya.

“Sekiranya Pulau Pinang masih mempunyai Unit Peronda Sukarela (PPS), saya akan mempunyai lebih 9,000 orang yang dapat saya gerakkan untuk membantu dalam usaha bantuan banjir.”

PPS adalah unit sukarela yang ditubuhkan pada 2011 oleh majlis eksekutif Pulau Pinang yang bertujuan melibatkan orang awam untuk memerangi jenayah. Ahli-ahlinya memakai baju berwarna ungu.

Pada sambutan kemerdekaan negara 2014, polis menahan lebih daripada 150 anggota PPS.

Kemudian, PPS diisytiharkan haram dan dianggap ancaman kepada keselamatan awam oleh Kementerian Dalam Negeri selepas Jabatan Pendaftar Pertubuhan mengatakan ia sebagai “badan tidak berdaftar”.

“Saya boleh menghantar mereka keluar untuk memberikan rakyat rasa selamat, meyakinkan mereka meninggalkan rumah untuk ke pusat pemindahan. Mereka yang berpakaian ungu dapat membantu rakyat berasa selamat.”

Rancangan pembersihan

Phee berkata tiga hari selepas banjir melanda, masih banyak yang perlu dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa ketika air mula surut.

Beliau berkata walaupun pasukan pencari terus meronda negeri untuk mencari penduduk yang masih terperangkap di rumah mereka, rancangan sudah disediakan untuk mengatur kerja-kerja pembersihan di semua lima daerah.

Anggota majlis, ahli jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung dan lain-lain akan ditugaskan menyelaraskan kerja dengan sukarelawan, katanya.

Phee berkata peralatan pembersihan seperti mop, baldi, dan sabun diperlukan dalam kuantiti yang banyak, begitu juga getah paip, jet air dan berus.

Mereka yang mempunyai kenderaan berat juga dialu-alukan untuk membantu kerja mengangkut serpihan.

“Seterusnya sanitasi. Rumah yang rosak akibat banjir perlu dibersihkan,” katanya.

“Kami kini melatih orang, sukarelawan, untuk ini ... mereka akan dimasukkan ke dalam pasukan yang dianggotai lima orang, dan ditugaskan untuk menyapu, membersih dan mencuci.

“Pasukan pembersihan akan pergi dari rumah ke rumah untuk membantu mangsa melakukan kerja membersih.” – 7 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen