Najib diminta keluar mahkamah ketika bicara kes Rosmah


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak diminta tinggalkan mahkamah ketika hadir perbicaraan kes rasuah isterinya, Rosmah Mansor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Februari, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak diminta meninggalkan mahkamah perbicaraan isterinya pagi ini sedang berlangsung selepas hakim memutuskan kehadirannya boleh menjejaskan kes itu.

Najib, berpakaian kemeja kasual berlengan pendek merah, masuk ke dalam mahkamah sekitar jam 10.40 pagi, 40 minit selepas perbincangan Rosmah Mansor bermula.

“Datuk Seri Najib, saya minta maaf kerana terpaksa meminta mengundurkan diri dari  mahkamah,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah tidak menunjukkan sebarang respons ketika Najib mengikut arahan hakim dan keluar bersama beberapa pembantu.

Masuk pada waktu hampir sama dengan Najib adalah pendakwa utama Gopal Sri Ram. Beliau tidak bercakap.

Kehadiran Najib itu dibangkitkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib yang semasa saksi pendakwaan keempat, pemandu Shamsul Rizal Sharbini memberi keterangan.

“Beliau (Najib) tidak boleh hadir dalam prosiding ini kerana beliau adalah salah seorang saksi yang kenyataannya direkodkan. Beliau tiada dalam perancangan untuk dipanggil tetapi apa sahaja boleh berlaku,” kata Akram.

Peguam utama Rosmah, Jagjit Singh membantah dan berkata nama Najib tidak pernah berada dalam senarai saksi yang diberikan oleh pihak pendakwa, yang sudah beberapa kali dipinda.

“Kami tidak menyedari perkara ini kerana berasa kehadiran beliau hanya untuk memberi sokongan kepada isteri sebagaimana yang sepatutnya dilakukan seorang suami.”

Zaini berkata: “Kadang-kala mereka (pihak pendakwa) tidak ikut senarai, kadang-kala mereka memanggil saksi yang mereka tidak rancang. Mungkin ada keadaan yang memaksa mereka untuk memanggil saksi yang tiada dalam senarai.” – 6 Februari, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen