BERSATU selesai menyusun senarai daftar keahliannya dan mengisytiharkan bahawa 381,811 ahli layak menghadiri mesyuarat agung tahunan cawangan dan bahagian parti itu, kata Marzuki Yahya.
Setiausaha Agung Bersatu itu berkata mesyuarat tersebut dijadualkan berlangsung dari 15 Februari hingga 29 Mac.
“Selepas PRU14, kami menerima banyak permohonan daripada orang ramai untuk menyertai Bersatu. Ia merupakan satu cabaran bagi kami pada mulanya untuk memastikan mereka berada di cawangan yang betul seperti yang diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan.”
“Sebelum kami muktamadkan nama mereka, kami beri peluang kepada ahli untuk memilih cawangan pilihan mereka sendiri dan sekarang kami telah muktamadkan,” katanya pada sidang media hari ini.
Marzuki berkata bahawa 144,198 individu akan mewakili sayap wanita manakala 101,947 akan mewakili pemuda.
Beliau menambah bahawa terdapat juga mereka yang telah dibatalkan keahlian mereka.
“Keahlian mereka dibatalkan selepas kami mengetahui bahawa mereka juga memohon untuk menjadi anggota parti lain selepas mendaftar dengan kami,” kata Marzuki.
Beliau menambah bahawa 50 orang secara sukarela berhenti dari parti itu sementara lembaga disiplin Bersatu sedang menyiasat beberapa kes yang melibatkan sabotaj.
Marzuki kemudian menggesa mereka yang dibenarkan menghadiri mesyuarat untuk mematuhi peraturan dan perlembagaan parti.
“Kita perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh parti serta perlembagaannya,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sehingga Januari 2020, Bersatu mempunyai 430,000 ahli namun kata beliau, mereka tidak dibenarkan menghadiri mesyuarat parti.
“Mereka tidak dibenarkan masuk ke mesyuarat itu kerana hanya mereka yang mendaftar sebelum 31 Disember sebagai anggota parti boleh menghadiri mesyuarat tahunan,” katanya. – 5 Februari, 2020.
Komen