SATU NGO Melayu Perak menggesa Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam usaha kerajaan negeri memberi hak pajakan sehingga tempoh 999 tahun kepada penduduk kampung baru negeri itu.
Presiden Gagasan Melayu Perak Razali Nordin berkata, perdana menteri perlu bertindak kerana hak pajakan sehingga tempoh itu adalah hak milik kekal dan bertentangan dengan perlembagaan.
“Kita minta perdana menteri campur tangan untuk menghentikan pelaksanaan itu. Bagi kami tindakan itu bercanggah dengan peruntukan Kanun Tanah Negara dan juga keputusan Majlis Akta Tanah Negara,” katanya.
Jelasnya ia berdasarkan keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara pada 25 April 1997 yang menetapkan tempoh pajakan tanah di kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun tetapi tidak melebihi 99 tahun.
Razali berkata demikian dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di Kompleks Setia Perdana, Putrajaya.
Turut hadir, timbalannya Norali Nordin yang berkata NGO itu konsisten membantah dasar memberi hak milik kekal seperti itu melalui Majlis Tindakan Rakyat Perak sejak 2008.
Norali berkata Gagasan Melayu Perak memfailkan saman pada 2008 selepas kerajaan negeri meluluskan 11 hak milik kekal untuk tanah lot Kampung Baru Batu di Gerik.
“Gagasan Melayu Perak telah mulakan prosiding sejak 2008 pada masa itu kita bawa ke mahkamah tapi kita tarik balik sebab kerajaan negeri dah batalkan cadangan itu.
“Sehinggalah pada bulan lepas kita dengar ia dibawa oleh exco negeri yang pada kita dasar itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya.
Pemberian hak pajakan sehingga 999 tahun merupakan antara janji dalam manifesto Pakatan Harapan Perak sewaktu kempen pilihan raya umum ke-14.
Tahun lepas, Exco Perak Abdul Aziz Bari mengumumkan kerajaan negeri akan membuat keputusan melaksanakan pemberian status tanah selepas sambutan Tahun Baru Cina.
Ia susulan desakan Pengerusi DAP Perak Nga Mor Ming dalam konvensyen parti itu pada November yang mendesak menteri besar menunaikan janji pilihan raya untuk melaksanakan dasar tersebut.
Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu bagaimanapun pada bulan lalu berkata beliau akan menangguhkan pelaksanaan tersebut.
Ia susulan saman pemula oleh Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perak, Aswannudin Hariffudin yang difailkan pada 15 Januari.
Aswannudin mengemukakan saman terhadap kerajaan Perak untuk tidak membuat sebarang keputusan berkaitan hak pajakan bagi menggantikan tempoh 99 tahun untuk tanah sedia ada.
Tentangan sama turut disuarakan Umno Perak yang menegaskan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-73 yang memutuskan bahawa tempoh pajakan bagi kampung baru tidak boleh melebihi 99 tahun.– 5 Februari, 2020.
Komen