Ulama PAS ikrar ‘jahanam Amanah’


Sheridan Mahavera

Pada permulaan perhimpunan Dewan Ulama hari, Ketua Dewan Ulama Kedah Mohd Rejab Mohd Akhir meminta hadirin berdiri membaca ikrar itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 27 April, 2017.

DEWAN Ulama PAS yang biasanya memulakan persidangan tahunannya dengan tenang berubah apabila hari ini ia bermula dengan bacaan ikrar mengutuk bekas ahlinya yang menubuhkan parti serpihan Parti Amanah Negara (Amanah).

Deklarasi luar biasa “Jahanam PAN” itu menunjukkan permusuhan kesumat dirasakan PAS terhadap Amanah yang menyulitkan kerjasama parti Islam itu dengan sekutu dalam gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

Amanah ialah ahli keempat PH, yang terdiri daripada PKR, DAP dan Bersatu. Pemimpin Bersatu dan PKR bekerja keras untuk menjalinkan pakatan pilihan raya PH-PAS untuk menewaskan Barisan Nasional pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Inisiatif itu tergendala kerana pemimpin PAS tegas menyatakan mereka tidak akan bekerjasama dengan Amanah atau DAP, atau mana-mana rakan kerjasama mereka.

Pada permulaan perhimpunan itu, Ketua Dewan Ulama Kedah Mohd Rejab Mohd Akhir meminta hadirin berdiri untuk membaca ikrar itu.

Rejab membaca dengan kuat: Jahanam PAN, kemudian diikuti oleh para perwakilan.

PAN ialah akronim yang digunakan PAS ketika merujuk kepada Amanah yang ditubuhkan pada 201 oleh beberapa pemimpin terkemuka dan ahli Parlimen yang meninggalkan PAS selepas pemilihan parti itu pada tahun berkenaan.

Ikrar itu diiringi dengan laungan Allahu Akhbar oleh perwakilan di Sekolah Rendah Darul Ulum in Alor Star, Kedah hari ini. – 27 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen