DUA lagu Pusat Permata Kurnia akan dibuka pada Ogos depan bagi kanak-kanak autisme yang berusia antara dua hingga enam tahun selepas kejayaan pusat Permata Kurnia pertama yang dibuka di Sentul, kata pengarah Permata Kurnia Dr Hasnah Toran.
“Dengan arahan Perdana Menteri (Najib Razak), kita akan membuka dua lagi pusat pada Ogos tahun depan - di Alor Setar, Kedah dan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laman web untuk golongan kelainan upaya oleh Bakti di Kuala Lumpur hari ini.
Hasnah berkata, pusat berkenaan di Sentul, yang dibuka pada Disember 2015, kini menjaga kira-kira 320 kanak-kanak autisme.
“Namun begitu, senarai permohonan sangat panjang. Kita ada sekurang-kurangnya 200 kanak-kanak dalam senarai menunggu,” katanya.
Tambahnya, ibu bapa dari Kedah, Johor dan Labuan sanggup berulang alik setiap minggu ke Kuala Lumpur untuk anak-anak mereka menghadiri program yang dijalankan.
“Permintaan (untuk pendidik kanak-kanak autisme) sangat tinggi,” katanya.
Hasnah berkata, kakitangannya turut membangunkan dua kursus dalam talian dalam bahasa Melayu dan video tutorial mingguan kepada ibu bapa yang mempunyai anak autisme.
“Kami menerima banyak pertanyaan daripada ibu bapa, mengenai bagaimana untuk bermain dengan anak mereka, bagaimana untuk mengajar mereka ke tandas.Kami berharap dapat mengembangkan banyak lagi kursus kepada mereka di masa akan datang,” katanya.
Noriani Daud, 36 yang merupakan seorang doktor dari Hospital Selayang berkata, anaknya mula menunjukkan perkembangan yang baik selepas mula menghadiri program mingguan di Sentul pada April.
“Sebelum ini, dia enggan bercakap, malah terasing daripada adik beradiknya yang lain.
“Kini dia boleh panggil saya mommy, abah dan sekurang-kurangnya mampu beritahu apa yang dia mahu serta mula bergaul dengan adik beradiknya yang lain. Ia sangat bermakna buat saya,” kata Noriani.
Mariam Abdul Malek, 41 yang merupakan ejen hartanah sambilan dari Puchong berkata, anak lelakinya berusia lima tahun kurang agresif dan boleh berkomunikasi dengan baik selepas menghadiri program Permata Kurnia pada Ogos 2017.
“Saya tidak tahu bagaimana nak menguruskannya. Empat anak saya yang lain adalah normal. Namun selepas guru memberitahu kami cara untuk berkomunikasi antara satu dengan yang lain, anak saya banyak belajar bagaimana untuk bercakap dan menunjukkan apa yang dia mahu,” kata Mariam.
Hasnah berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan satu daripada 10 orang adalah autistik, dan mungkin 310,000 orang autisme di Malaysia yang berpopulasi 31 juta orang.
Permata Kurnia merupakan salah satu program pendidikan awal kanak-kanak di bawah Permata, yang dinaungi isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor.
Rosmah turut hadir pada majlis pelancaran laman web Rangkaian Maklumat Rakyat Malaysia untuk Golongan Kelainan Upaya, yang pada asalnya dilancarkan oleh Bakti pada 2004.
Program terbabit dibiayai oleh Jabatan Perdana Menteri. – 6 November, 2017.
Komen