PENIAGA di Pulau Pinang mengeluh kerana hasil jualan semakin berkurangan sejak penularan virus Wuhan yang menyebabkan penyusutan jumlah pelancong dari China.
Mereka berharap cuti panjang sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina minggu lalu akan membawa laba tetapi keadaan sebaliknya berlaku kerana jumlah pelancong susut mendadak.
Hinggakan, kawasan tumpuan seperti Lebuh Armenia yang mempunyai pelbagai tarikan seperti lukisan mural serta pelbagai juadah dan kebudayaan tradisional dilihat agak sunyi.
Beberapa peniaga di kawasan berkata mereka resah kerana perniagaan terjejas sejak novel koronavirus (nCoV19) mencetus kebimbangan.
Pengusaha makanan ringan berdekatan Masjid Lebuh Acheh, Evans Cheah, menganggarkan hasil perniagaannya terjejas sehingga 30% disebabkan penyusutan jumlah pelancong.
Pengusaha kedai menjual juadah pencuci mulut itu turut mengaitkannya dengan keadaan ekonomi global yang menjejaskan kedatangan pelancong.
“Berbanding awal tahun lepas, awal tahun ini perniagaan kita agak perlahan. Isunya bukan saja virus koronavirus, tetapi mungkin faktor ekonomi.
Sejak Oktober tahun lepas, pelancong sudah tidak berapa ramai. Apabila muncul kes koronavirus, keadaan bertambah teruk dan hasil jualan jatuh 20%-30%,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Cheah, 36, ketika ditemui di kedainya berkata pada awal tahun, Pulau Pinang biasanya padat dengan pelancong China yang mengambil peluang bercuti ketika sambutan Tahun Baru.
Bagaimanapun, situasi itu tidak berlaku pada tahun ini, katanya yang mengusahakan perniagaan tersebut sejak sembilan tahun lalu.
Katanya, sewaktu wabak Influenza A melanda pada 2009, kedatangan pelancong tidak begitu terjejas berbanding jangkitan koronavirus yang berpunca daripada Wuhan, di Hubei, China.
“(Virus Wuhan) berbeza dengan (Influenza A). Vaksin belum ada dan berita palsu menimbulkan panik kepada orang ramai,” tambahnya.
China mencatat jumlah kematian tertinggi akibat virus Wuhan setakat ini, seramai 361 orang dan lebih 17,000 disahkan positif.

China juga menyekat pergerakan lebih 11 juta penduduknya dari Wuhan, di wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan jangkitan tersebut.
Malaysia turut menyekat kemasukan individu dari kawasan tersebut dan seramai 147 orang dari China disekat daripada memasuki negara di pelbagai pintu masuk sejak seminggu lalu.
Seramai lapan orang, kesemuanya dari China disahkan positif virus Wuhan dalam negara dan kini dirawat dalam pengasingan.
Seorang lagi peniaga, penjual jus buah-buahan Johnny Ooi pula mendedahkan hasil jualannya jatuh 30% sejak wabak koronavirus mula menimbulkan kebimbangan.
Tambahnya, bukan saja pelancong China yang menurun malah pelancong dari negara lain juga dilihat berkurangan di Georgetown.
“Semua orang takut untuk keluar, bukan saja pelancong China tetapi pelancong dari negara lain. Walaupun wabak ini masih baru, kesan kepada peniaga di sini sudah terasa.
“Awak pun boleh lihat, keadaan agak lengang daripada pelancong tidak seperti bulan-bulan sebelum ini,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.
Beliau turut berharap, wabak tersebut mampu dibendung secepat mungkin supaya industri pelancongan kembali normal kerana jualan jus buah tempatan itu bergantung sepenuhnya kepada pelancong.
Namun seorang lagi peniaga berpendapat, jangkitan virus Wuhan tidak memberi kesan besar kepada perniagaan sewa basikalnya.
Walaupun ada sedikit penurunan pelanggan, basikal dan motosikalnya masih lagi disewa orang ramai, katanya.
“Kami masih boleh bertahan, tidaklah teruk sangat. Memang untung ada kurang tetapi tidaklah terlalu teruk,” kata lelaki berusia 56 tahun itu.
Jelasnya, perkhidmatan sewaan dengan harga antara RM8 hingga RM30 itu masih mendapat sambutan pelancong selain daripada pengunjung China.
“Pelancong China memang nampak kurang datang ke sini, tetapi masih ada pelancong dari Eropah dan warga tempatan,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini meningkatkan pemantauan bagi mengekang penularan wabak berkenaan.
Exco kesihatan Dr Afif Bahardin berkata Jabatan Kesihatan negeri menjalankan saringan suhu terhadap semua penumpang di ketibaan antarabangsa di setiap laluan pintu masuk antarabangsa.
Exco pelancongan Yeoh Soon Hin pula percaya virus itu tidak akan terus menular untuk tempoh lama dan menjejaskan sektor pelancongan negeri.
“Kita harap, sebaik saja virus itu dapat dikawal, kita akan lihat keyakinan pelancong pulih dan kembali berkunjung apabila mereka rasa selamat.
“Pada masa sama, langkah berjaga-jaga tidak harus diambil mudah tetapi usaha promosi juga tidak harus dihentikan,” katanya. – 5 Februari, 2020.
Komen