Tidak lama lagi, kelestarian bukan lagi pilihan untuk pengeksport


Sheridan Mahavera

Tahun ini, Matrade memulakan inisiatif yang dikenali sebagai SAVE untuk membantu perusahaan IKS dan syarikat besar mengubah operasi dan amalan mereka bagi mencapai standard lestari. – Gambar EPA, 4 Februari, 2020.

TAHUN lalu, sebuah syarikat pembuat sarung tangan getah Malaysia disekat daripada mengeksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) kerana didakwa menggunakan buruh paksa di kilang mereka.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat asing terkemuka seperti Wallmart, Kmart dan Tesco mula memeriksa kilang pembekal dari Malaysia untuk memastikan tiada pelanggaran undang-undang buruh, keselamatan dan alam sekitar.

Agensi kerajaan yang memantau hal berkaitan eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata hal itu bukan satu pengecualian tetapi perkara yang biasa berlaku pada hari ini kerana pengguna di seluruh dunia mula mementingkan isu alam sekitar dan tanggungjawab sosial.

Matrade memberi amaran bahawa syarikat tempatan tidak seharusnya ketinggalan apabila pesaing Malaysia di rantau ini seperti Singapura dan Thailand mula mengikut perkembangan semasa itu.

“Sama ada cepat atau lambat, anda akan terpaksa menjadi lebih mapan terutamanya dengan pengguna di pasaran maju seperti AS dan Kesatuan Eropah yang mahukan produk mapan dan lestari,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Wan Latiff Wan Musa kepada The Malaysian Insight.

“Malah di Malaysia sudah ada pelanggan yang mahu barangan mereka dihasilkan secara mapan dan mesra alam. Sebagai contoh, kita tidak gunakan lagi straw dan beg plastik,” katanya.

Tahun ini, Matrade memulakan inisiatif yang dikenali sebagai SAVE untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan syarikat besar mengubah operasi dan amalan mereka bagi mencapai standard lestari.

“Kita melihat perubahan yang ketara ke arah kelestarian dalam perniagaan dunia dan pembuat dasar industri terutamanya dalam pasaran bernilai tinggi seperti AS dan Eropah,” kata Wan Latiff.

“Pengekport Malaysia perlu bersedia untuk menjadi lebih lestari agar mampu mengikut perkembangan dunia. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan produk mereka tidak dapat menembusi pasaran tertentu.”

Syarikat pembuat sarung tangan getah WRP Asia yang beroperasi di Sepang antara lima syarikat disekat oleh pihak berkuasa Perlindungan Sempadan dan Kastam AS kerana disyaki menggunakan buruh paksa. – 5 Februari, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen