KEMENTERIAN Kesihatan sedang berusaha mengesan “kontak rapat” seorang rakyat Malaysia yang positif novel koronavirus (nCoV19), kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.
“Kami sedang memeriksa jumlah maksimum orang yang ditemuinya menerusi jejak kontak.
“Ia satu cabaran untuk menjejak dan mengesan di mana beliau berada sepanjang masa itu,” katanya kepada wartawan pada taklimat harian nCoV19, hari ini.
Lelaki warga Malaysia berusia 41 tahun dari Selangor itu positif nCoV19 semalam selepas pulang dari Singapura. MOH berkata lelaki itu mengalami batuk-batuk dan demam selepas pulang daripada lawatan enam harinya (16-23 Januari).
Selepas mengalami simptom pada 29 Januari, lelaki itu dirujuk kepada wad pengasingan Hospital Sungai Buloh. Beliau disahkan positif semalam.
Beliau adalah salah satu daripada dua kes positif baharu di Malaysia.
Kes pertama melibatkan seorang warga China dari Wuhan yang tiba di Malaysia pada 13 Januari.
Beliau demam pada 23 Januari dan dirawat di hospital swasta yang memaklumkan MOH.
Lelaki itu kemudiannya dipindahkan ke wad pengasingan Hospital Kuala Lumpur dan disahkan positif pada 3 Februari lalu.
Dengan dua kes terbaru itu, kini jumlah kes positif di Malaysia adalah 10. Lima adalah kes pesakit bawah siasatan dan lima lagi kes kontak rapat.
Sembilan adalah warga China dan seorang warga Malaysia. Jumlah pesakit bawah siasatan adalah 213 orang.
Ditanya tentang saiz “kontak rapat” yang disiasat MOH, Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Keong berkata: “Untuk definisi kontak, kami menggunakan definisi Organisasi Kesihatan Dunia (WHO).”
“Kontak rapat bermaksud ahli keluarga dan orang yang selalu berhubungan. Kumpulan kedua adalah kontak dalam mesyuarat atau perbincangan.
“Untuk kontak kasual, seperti bila anda pergi ke kedai untuk minum the, kami tidak akan mengesannya buat masa sekarang.”
Dr Chong bagaimanapun tidak mendedahkan saiz kumpulan yang sedang disiasat MOH.
“Ia masih dalam siasatan kerana kami hanya terima maklumat malam tadi. Kami sekarang sedang menyiasat senarai orang yang beliau mungking berhubungan.”
Ditanya sama ada sebab untuk bimbang kerana lelaki tersebut bergerak bebas selama enam hari sebelum diasingkan, Dr Chong berkata: “Setakat ini kami sedang menyiasat di negeri jiran untuk mengetahui sama ada jangkitan berlaku.”
Jumlah jangkitan wabak koronavirus melebihi 20,400 orang di China sahaja dengan 3,235 kes baharu disahkan, kata pihak berkuasa negara itu hari ini.
Terdapat 64 kematian baharu virus itu di daerah paling teruk terjejas di Hubei, menjadikan jumlah kematian seluruh China mencecah 425 orang.
WHO sudah mengisytiharkan darurat kesihatan global, dan kematian pertama di luar China disahkan berlaku di Filipina pada Ahad lalu. – 4 Februari, 2020.
Komen