Bebal kalau tunggu 3 tahun untuk terima wang suapan, kata Najib


Bede Hong

Hanya orang bebal menunggu tiga tahun untuk terima wang suapan dan pertuduhan SRC International mengarut, kata Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Februari, 2020.

NAJIB Razak menafikan dakwaan rasuah terhadapnya pada perbicaraan SRC International hari ini, berkata hanya mereka yang “bebal” akan menunggu tiga tahun untuk menerima suapan.

Bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menerima RM42 juta dana SRC International ke dalam akaun bank peribadinya turut berkata tidak ada bukti menunjukkan beliau terlibat mengatur penerimaan wang tersebut.

Pertuduhan itu berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion diberikan kepada SRC International pada 2011 dan 2012. Beliau dituduh menerima RM42 juta daripadanya pada Disember 2014 dan Februari 2015.

“Ia tak pernah berlaku. Untuk mencadangkan yang saya selaku perdana menteri terlibat dalam perkara sebegitu sangat mengarut. Seperti yang saya kata, saya tidaklah sebebal itu untuk meminta suapan dan akhirnya diketahui (pihak lain).

“Saya tak pernah minta apa-apa wang suapan dan saya tidak tahu bagaimana RM42 juta masuk ke dalam akaun saya pada masa itu,” kata ahli Parlimen Pekan itu kepada mahkamah.

Najib kemudian menyifatkan pertuduhan ke atasnya sebagai “mengarut” kerana ia bermaksud beliau perlu menunggu tiga tahun untuk menerima wang suapan itu.

“Dalam politik, seminggu pun sudah lama, apatah lagi tiga tahun. (Dalam tiga tahun) Seseorang boleh jadi tidak berkuasa lagi.

“Tiada siapa tunggu tiga tahun untuk terima (suapan). Paling utama, ia masuk ke dalam akaun CSR (tanggungjawab sosial korporat). Orang ambil rasuah untuk sebab peribadi- beli rumah, kereta, tetapi ia masuk ke dalam akaun CSR.

“Ia aneh dan mengarut, saya tak boleh bayang sesiapa buat begitu kerana saya tak buat dan tidak ada bukti untuk tunjuk saya tahu mengenainya.”

Najib turut mempertahankan hujah pembelaannya bahawa beliau dimanipulasi ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang berpakat dengan orang lain termasuk bekas pegawai AmBank untuk menipu SRC International.

“Beliau (Low) anjurkan parti mewah…yang saya tak dijemput pun,” kata Najib yang menyebabkan Shafee dengan nada bergurau bertanyakan sama ada beliau mahukan jemputan.

Sambil ketawa, Najib menjawab: “Saya tak mahu terlibat.”

“Beliau (Low) berusaha mempromosinya. Beliau jemput media,” kata Najib lagi menyebabkan pendakwa raya khas V Sithambaram bangun membantah dengan alasan kenyataan Najib itu hanyalah bersifat khabar angin.

Najib juga berkata Low memasukkan RM42 juta ke dalam akaunnya sebagai “umpan” mendapatkan keyakinannya.

“Beliau perlu memastikan saya terus yakin dan percaya kepadanya. RM42 juta terlalu kecil berbanding apa yang beliau belanjakan. Saya fikir inilah yang berlaku. Ia adalah pelaburan atau umpan supaya beliau boleh terus mendapat faedah daripada aktiviti lain yang beliau kerjakan,” kata Najib.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau hanya menyedari tindakan Low dibuat tanpa pengetahuannya setelah ia berlaku agak lama.

Shafee: Awak terus percaya kepada Jho Low ketika itu?

Najib: Sehingga jelas kepada saya yang dia terlibat dalam semua penipuan dan apa sahaja aktiviti yang dia buat.

Shafee: Bila awak sedar yang dia mengumpan anda?

Najib: Setelah lama ia berlaku barulah saya sedar. Saya mula ada rasa ragu bila saya diberikan bukti oleh SPRM. Ketika itu ia sudah jadi isu antarabangsa. Kemudian saya sedar yang dia banyak buat perkara tanpa pengetahuan saya.

Najib menamatkan sesi memberi keterangannya hari ini. Beliau sudah memberi keterangan selama 16 hari perbicaraan sejak 3 Disember lalu.

Saksi pembelaan seterusnya ialah Krystle Yap, bekas pengurus perhubungan AmBank.

Perbicaraan didengar Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – 4 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen