SEORANG ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) hari ini menggesa kerajaan Pulau Pinang memberi RM2,000 kepada setiap isi rumah yang terjejas akibat banjir kilat tanpa sebarang syarat.
Adun Pulau Betong Muhammad Farid Saad berkata kerajaan negeri juga harus memberi jumlah munasabah kepada sekolah, rumah ibadat dan lain-lain.
“Wang sumbangan itu mesti daripada dana gabungan negeri. Bantuan tunai diperlukan sekarang kerana ramai kehilangan harta benda.
“Mereka yang berada di kawasan kampung teruk terjejas. Mereka perlu menggantikan perabot dan perkakas dapur,” katanya pada sidang DUN pagi tadi.
Farid berkata bantuan khas itu diberikan tanpa memerlukan mangsa mengisi borang keahlian Pakatan Harapan (PH).
Pihak berkuasa negeri dan persekutuan juga kataya perlu menyelaras untuk menghantar pegawai perubatan daerah melawat rumah-rumah yang terjejas bagi memastikan mereka selamat.
“Kaunseling juga diberikan jika perlu,” katanya.
Farid mencadangkannya di dalam usul, tetapi meminta supaya usul itu tidak dibahaskan.
Speaker Law Choo Kiang berkata memandangkan usul farid tidak akan dibahaskan, ia tidak akan diterima sebagai satu usul.
“Memandangkan ia telah didengar di Dewan, cadangannya akan dicatit dan dibawa kepada kerajaan negeri untuk dibincangkan dengan exco-exco,” katanya.
Law kemudian menangguhkan sidang sehingga Rabu bagi membolehkan wakil-wakil rakyat meneruskan kerja-kerja bantuan banjir di kawasan masing-masing.
Dewan akan berehat esok sempena lawatan rasmi Putera Charles dan isterinya Camilla, Duchess of Cornwall ke Pulau Pinang. – 6 November, 2017.
Komen