GST bantu selamatkan kita, kata Najib


Muzliza Mustafa

KEPUTUSAN tidak popular untuk memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terbukti tepat dalam memastikan negara tidak tersungkur, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini.

“Orang kata GST menyebabkan kerajaan tidak popular tetapi saya sanggup melakukannya kerana saya rasa itu keputusan terbaik untuk ekonomi negara,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Kewangan di Putrajaya.

Najib berkata keputusan itu terbukti tepat kerana ia membantu kerajaan bertahan ketika harga minyak merudum dan menyebabkan negara kerugian RM35 bilion.

“Kalau tidak ada GST memang ekonomi negara kita akan tersungkur,” katanya.

Beliau berkata tahun ini kerajaan dijangka mengumpul RM45 bilion daripada hasil GST.

Bukan seperti pembangkang, Najib berkata setiap keputusan dibuat kerajaan perlu berpijak di bumi nyata dan tidak hanya berjanji untuk populariti.

“Keputusan yang kita buat pasti tepat, kerana kalau salah buat keputusan, kesan buruk kepada ekonomi dan rakyat,” katanya.

Katanya, Putrajaya juga akan mengambil langkah berhemah dalam perbelanjaan untuk memastikan hutang negara berada di bawah paras 55%.

“Kami berbelanja dengan bijak dan berhemah dengan bajet kita,” katanya.

Beliau berkata hutang negara tahun lalu berada pada paras 52.6%.

“Kita tidak boleh tergesa-gesa untuk berbelanja dan terpengaruh untuk berbelanja. Kalau meminjam duit perlulah untuk pelaburan produktif,” katanya.

Katanya, defisit fiskal Malaysia berada pada 6.7%, dan tahun lepas pada 3.1%.

Putrajaya berharap untuk mengurangkannya pada 3% penghujung tahun ini. – 27 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen