Kedah beri jamin bekalan air domestik mencukupi


Empangan Muda dan Empangan Beris mencatatkan peratusan paras air yang rendah.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2020.

KERAJAAN negeri Kedah memberi jaminan penyusutan paras air di beberapa empangan utama di negeri ini tidak menjejaskan keperluan domestik, malah mampu membekalkan air kepada pengguna sehingga Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Zamri Yusof berkata walaupun berlaku penyusutan, paras air di Empangan Pedu dan Empangan Ahning masih tinggi, manakala hanya Empangan Muda dan Empangan Beris mencatatkan peratusan paras air yang rendah.

“Memang keutamaan air kita lebih kepada keperluan domestik kerana kegunaan air untuk pertanian, khususnya padi sudah pun dikurangkan sejak Disember lepas dan kita akan tengok keperluan seterusnya pada Mac dan April akan datang.

“Buat masa ini takungan di Empangan Pedu dan Ahning juga masih lumayan kuantiti dia, cuma Empangan Muda dan Empangan Beris agak kurang. Sebab itu kita ingatkan pengguna supaya berhemah agar keperluan domestik tak terjejas…insya-Allah sampai Jun masih boleh bertahan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media berhubung situasi air di Kedah di Alor Setar hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago.

Mengulas lanjut, Zamri berkata kerajaan negeri Pulau Pinang juga telah mengurangkan aktiviti mengepam air dari Sungai Muda ke negeri itu selepas diminta berbuat demikian oleh kerajaan negeri Kedah sebelum ini.

“Pulau Pinang yang mengepam air dari Sungai Muda pun sudah dikurangkan hasil daripada perbincangan bersama (sebelum ini) dan ini membolehkan kita dapat bertahan dengan bekalan air daripada empangan itu dan dinikmati rakyat negeri ini,” katanya.

Zamri berkata sehingga hari ini, paras air di Empangan Muda mencatatkan penyusutan kepada 8.80 peratus, Empangan Pedu (41.22 peratus) dan Empangan Ahning (59.10 peratus).

Menurutnya, penyusutan paras air itu sehingga kini menjejaskan bekalan air kepada 3,700 akaun pengguna di beberapa kawasan terutama di Merbok, Gurun serta Kuala Kedah.– Bernama, 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen