PUTRAJAYA digesa mempertimbangkan penambahan peruntukan untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang berikutan tragedi banjir yang berlaku di negeri itu, kata Ahli Parlimen Pakatan Harapan
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, kejadian banjir terbaru ini yang mengorbankan tujuh nyawa, adalah bukti 80% kawasan di negeri itu terdedah kepada bencana.
“Sejak Rancangan Malaysia ke-9 hingga Rancangan Malaysia ke-11, hanya RM1 bilion dibelanjakan untuk tebatan banjir di satu kawasan iaitu di Sungai Pinang.
“Peruntukan itu tidak mencukupi untukk kawasan lain seperti Bayan Baru, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Selatan. Terdapat keperluan yang serius untuk menteri hadir ke Parlimen dan mengusulkan peruntukan untuk projek tebatan banjir,” katanya merujuk kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Sebelum Bajet 2018 diluluskan, saya menggesa kerajaan terutamanya menteri sumber asli dan alam sekitar untuk meningkatkan peruntukan bagi projek tebatan banjir di Pulau Pinang,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen bertarikh 30 Oktober, Wan Junaidi berkata hanya separuh daripada keseluruhan jumlah peruntukan RM2.57 bilion diluluskan di bawah Rancangan Malaysia ke-5 hingga Rancangan Malaysia ke-11, dibelanjakan untuk projek tebatan banjir di Pulau Pinang. Jumlah keseluruhan peruntukan itu adalah untuk projek baru dan yang sedang berjalan.
“Sebagai contoh, jumlah keseluruhan RM135 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-8 untuk projek tebatan banjir Sungai Junjung, dan projek itu diteruskan hingga Rancangan Malaysia ke-10.
“Walaupun jumlah keseluruhan kos yang diluluskan adalah RM2.57 bilion, ia tidak bermakna kesemua kos telah digunakan dan digunakan untuk kerja pembangunan.
“Selepas menilai skop tugas, reka bentuk dan keperluan tapak ketika pelaksanaan projek berkenaan, peruntukan sebenar dibelanjakan di bawah Rancangan Malaysia ke 9 hingga ke 10 hanya RM1.04 bilion,” katanya dan menambah jumlah itu tidak termasuk perbelanjaan ke atas projek dalam Rancangan Malaysia ke-8 dan projek lain yang sedang diteruskan.
Wan Junaidi berkata jumlah keseluruhan peruntukan yang diluluskan hanya kos siling awal yang dijangka akan dibayar untuk pelaksanaan projek terbabit.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang, turut meminta Wan Junaidi menjelaskan mengapa kerajaan persekutuan hanya membelanjakan RM443 juta untuk projek tebatan banjir di negeri itu, daripada jumlah keseluruhan yang diluluskan. – 6 November, 2017.
Komen