SAKSI kedua pembelaan akan dipanggil esok selepas Najib Razak habis memberikan keterangan bersumpah di kandang saksi.
Najib mula memberi keterangan sejak 3 Disember lalu.
Pasukan pembelaan bekas perdana menteri itu akan memanggil bekas pengurus perhubungan pelanggan AmBank Krystle Yap selepas sesi soal balas Najib berakhir.
Keterangan bertulis Yap hanya 14 muka surat, berbanding keterangan bertulis Najib setebal 243 muka surat.
Yap sebelum ini beberapa kali disebut oleh saksi terdahulu dalam perbicaraan kes SRC International itu, termasuklah pengurus AmBank Uma Devi dan bekas pengurus AmBank Joanna Yu.
Yap adalah ahli kumpulan borak telefon yang melibatkan Yu, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Joho, bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin dan bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.
Yu dan bekas majikannya, AMMB Holdings Sdn Bhd dan AmBank Islamic Bhd kini terlibat dalam saman difailkan Najib pada 9 Disember lepas.
Najib menghabiskan 16 hari perbicaraan di kandang saksi, tiga hari membacakan keterangan bertulisnya dan 11 hari disoal balas dan dua hari disoal semula.
Beliau berdepan tujuh pertuduhan jenayah kerana didakwa menerima RM42 juta dana SRC International. Jika sabit bersalah, beliau boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.
Peguam kanan Najib, Muhammad Shafee Abdullah dijangka menyimpulkan sesi soal balas semula esok. – 3 Februari, 2020.
Komen