Hanya rakyat Malaysia bebas virus dibenar pulang dari China, kata Dzulkefly


Chan Kok Leong

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 Februari, 2020.

HANYA rakyat Malaysia yang melepasi ujian saringan novel koronavirus (nCoV19) di China akan dibawa pulang, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri kesihatan berkata, mereka yang didapati mempunyai simptom jangkitan akan dihantar ke pusat kesihatan di Wuhan.

“Proses saringan akan dijalankan oleh pihak berkuasa China di Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe,” kata Dzulkefly pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut menjelaskan berhubung proses penghantaran pulang rakyat Malaysia di Wuhan dan Hubei ketika penularan wabak koronavirus di China.

Menurutnya, mereka yang melepasi ujian saringan kesihatan di Wuhan akan dipantau oleh enam pegawai perubatan Malaysia ketika penerbangan kembali ke Kuala Lumpur.

“Mereka yang dikesan mempunyai simptom ketika dalam penerbangan akan dikuarantin daripada penumpang lain dan dipindahkan ke bahagian belakang pesawat.

“Sebaik tiba, kesemua 141 penumpang dan 28 anak kapal dari China (termasuk pegawai perubatan, anak kapal dan pegawai kerajaan) akan menaiki bas khas Unit Kecemasan Udara untuk dekontaminasi dan saringan kesihatan. Mereka akan melalui laluan masuk biasa di Lapanan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mereka yang didapati mempunyai simptom akan dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Kuala Lumpur manakala yang lain akan dibawa ke pusat pemantauan untuk dipantau selama 14 hari,” kata Dzulkefly.

Dzulkefly berkata, mereka akan dibenarkan pulang sebaik sahaja disahkan sihat dan negatif koronavirus. – 3 Februari, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen