PENARI Bilqis Hijjas yang pembebasannya dibatalkan bulan lepas berkata dia tidak berniat untuk menghina Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor apabila dia menjatuhkan belon kuning semasa acara yang dihadiri tetamu VIP.
Bilqis didakwa menghina selepas melepaskan belon dari tingkat lima pusat membeli-belah Pavilion di Bukit Bintang pada jam 3.15 petang, 31 Ogos 2015.
Katanya, tindakannya itu untuk menekankan prinsip demokrasi, kebebasan media dan keadilan - seperti yang dicetak pada belon.
“Saya hanya mahu mengingatkan perdana menteri tentang pronsip-prinsip yang dicetak pada belon, yang pada saya merupakan prinsip utama di negara ini.
“Ini merupakan prinsip yang ramai orang mahukan di negara ini dan saya mahu memberitahu beliau yang kami memegang teguh prinsip ini,” katanya di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.
Belon-belon itu jatuh di belakang skrin LCD di tingkat dua di mana acara pembukaan Festival Seni Kuala Lumpur sedang diadakan pada 2015.
Bilqis berkata dia mendapat belon dari perhimpunan Bersih 4 yang diadakan sehari sebelum majlis itu.
Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz bertanya bagaimana Bilqis akan rasa sekiranya kejadian sama berlaku pada majlis anjurannya dan liputan media lebih menumpu kepada gangguan itu dan bukannya majlis.
Jawab Bilqis, dia tidak tahu bagaimana perasaannya - yang mendorong Nurakmal bertanyakan soalan sama - sebelum dihentikan majistret yang menanyakan mengapa Nurakmal memaksa saksi menjawab soalan yang sama.
Peguam mewakili Bilqis, Eric Paulsen berkata Bilqis tidak berniat untuk menyebabkan gangguan dan keputusan muktamad sepatutnya dibuat oleh majistret berdasarkan penjelasan Bilqis.
“Secara fakta, sudah jelas tiada gangguan kerana melalui bukti , video itu, tiada siapa nampak belon dan tiada siapa menjerit atau lari dan hanya anggota keselamatan yang nampak.
“Dengan jelas dia mengatakan yang dia tidak berniat untuk mengganggu keamananan, tetapi mahu menegaskan prinsip demokrasi, kebebasan media dan keadilan,” kata Paulsen kepada The Malaysian Insight.
Pada 3 Okotber, Bilqis telah diperintahkan membela diri selepas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Indera Mohd Sofian Abd Razak membatalkan pembebasannnya dan kes dihantar semula ke mahkamah lebih rendah.
Indira memutuskan bahawa majistret tersilap membebaskan Bilqis dan membenarkan rayuan kerajaan terhadap pembebasan itu.
Beliau berkata perkataan “kebebasan media”, “demokrasi”, “keadilan” pada belon juga digunakan semasa perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos, 2015.
Perbicaraan seterusnya pada 13 dan 20 November sementara keputusan dijangka pada 27 November. – 6 November, 2017.
Komen