Mahkamah benarkan Najib periksa beg, jam, wang tunai yang dirampas


Bede Hong

Bekas perdana menteri Najib Razak kelihatan berbincang dengan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkelif, 3 Februari, 2020.

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Najib Razak dan keluarganya untuk memeriksa barangan yang dirampas dari premis dikaitkan dengan mereka, termasuk ratusan beg berjenama, berpuluh-puluh jam tangan mewah dan wang tunai.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan bekas perdana menteri itu, isterinya Rosmah Mansor dan anak perempuannya Nooryana Nawja, memeriksa sendiri barangan berkenaan yang disimpan di Bank Negara.

“Saya berpandangan pemohon perlu diberi peluang untuk memeriksa barangan yang dirampas itu,” kata hakim ketika menyampaikan keputusannya pagi ini, menambah masalah keselamatan boleh diuruskan dengan mudah oleh pihak pendakwa dan bank pusat.

Hakim berkata pemeriksaan itu akan dijalankan di premis yang ditentukan oleh pendakwa, dan barangan berkenaan dipamerkan di bawah pemantauan dan dilakukan dalam tempoh dua minggu.

Jika Najib dan keluarganya mahu memfailkan afidavit berkaitan pemeriksaan itu, mereka boleh berbuat demikian sebelum 2 Mac, katanya.

Hakim turut membenarkan permohonan ketua peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah iaitu seorang peguam daripada kedua-dua belah pihak dan dari mahkamah, perlu hadir.

Antara barangan yang disenaraikan dalam notis usul ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, dan jutaan wang tunai dalam pelbagai mata wang.

Keluarga itu mendakwa barangan itu adalah hadiah yang diterima dan bukan diperoleh secara haram.

Rosmah hari ini diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Barangan yang dirampas dari beberapa kediaman berkaitan Najib itu dinilai antara RM900 juta dan RM1.1 bilion. Ia termasuk barangan kemas bernilai RM440 juta dan wang tunai RM116.7 juta.

Rampasan dibuat ketika serbuan dibuat di rumah Najib di Jalan Langgak Duta dan kondominium di Pavilion Residences, di mana anak lelaki dan perempuannya tinggal, selain sebuah unit kosong di kondominium yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu berdepan tiga perbicaraan kes jenayah yang sedang berlangsung. – 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen