Suku Semai gesa Pakatan tunai janji henti projek hidro


Noel Achariam

Orang Asli Suku Semai di Ulu Geruntum, Gopeng, telah berjuang sejak 2012 untuk projek dihentikan kerana mereka bimbang ia akan memusnahkan ekosistem dan kehidupan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2020.

ORANG Asli Ulu Geruntum, Gopeng, terkilan selepas kerajaan Pakatan Harapan gagal menghentikan projek hidroelektrik mini yang menceroboh tanah nenek moyang mereka.

Mereka berharap Pakatan akan mengubah keputusan pentadbiran negeri Barisan Nasional untuk membina empangan hidro di kawasan hutan menjadi tempat tinggal mereka selama beberapa dekad.

Walaupun gesaan telah disuarakan oleh suku Semai, aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan supaya kerajaan menghentikan projek itu, kerajaan negeri Perak bagaimanapun telah memberi lampu hijau untuk projek itu disambung semula tahun lepas.

Suku Semai telah berjuang sejak 2012 untuk projek dihentikan kerana mereka bimbang ia akan memusnahkan ekosistem dan kehidupan mereka.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Kg Poh, Pak Busu Bamin, 52, berkata mereka kecewa dengan Pakatan kerana gagal menunaikan janji mereka.

“Sebelum pilihan raya, mereka berkata jika mereka menang, mereka akan hentikan projek itu, tetapi tiada apa yang berlaku sejak mereka menang.

“Kami sedih apabila kami dapati walaupun menyokong mereka (PH), kerajaan negeri tetap meneruskan projek itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Kg Poh, Pak Busu Bamin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2020.

Pemeriksaan The Malaysian Insight mendapati bahawa kerja-kerja sudah bermula kira-kira 1.5km dari rumah Orang Asli.

Menurut Busu, terdapat sekitar 900 penduduk daripada suku Semai tinggal di sekitar kawasan itu.

Penduduk kampung membantah projek tersebut seawal 2012, ketika ia mula diumumkan dan projek tersebut dianugerahkan kepada sebuah syarikat bagi membina 31 empangan mini di sepanjang tiga sungai, termasuk Sg Kampar.

Projek-projek ini akan memberi kesan kepada lapan kampung iaitu Kg Helang, Kg Ampang Utama, Kg Sg Sat Baru, Kg Sg Sat Lama, Kg Sg Kapur Baru, Kg Sg Kapur Lama, Kg Kepayan dan Kg Koh.

Kerajaan Barisan Nasional telah meluluskan 25 projek empangan hidro mini di seluruh negeri ini pada tahun 2012 dan satu lagi enam tahun kemudian dengan jumlah kos sebanyak RM2.92 bilion.

Penduduk kampung menuduh syarikat konsesi, Hydro Renewable Energy Corporation memusnahkan tanaman mereka untuk membina jalan semasa pembinaan di samping turut menceroboh tanah mereka.

Pemeriksaan The Malaysian Insight mendapati kerja-kerja sudah bermula kira-kira 1.5km dari rumah Orang Asli. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2020.

Busu berkata mereka akan terus menentang projek itu kerana mereka mendakwa bahawa empangan itu tidak boleh dibina di atas tanah nenek moyang mereka.

“Mereka mengatakan bahawa ini adalah tanah negeri tetapi nenek moyang kami telah tinggal di sini selama beberapa dekad dan sekarang mereka datang ke sini dan menghancurkan hutan hijau yang subur ini.

“Mereka tahu bahawa ini adalah tanah nenek moyang tetapi mereka masih mencerobohi kawasan ini.

“Kami akan terus memprotes sehingga projek ini dihentikan.”

Busu juga berkata selepas beliau membina lapan pondok buluh baru untuk keluarganya, syarikat Perak Hydro telah menghantar surat untuk merobohkan pondoknya.

“Mereka beri kami tempoh satu minggu sejak 29 Januari untuk merobohkan pondok jika tidak mereka akan ambil tindakan.

“Kami tidak akan pergi dan kami akan terus lindungi pondok kami.”

Surat yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan bahawa suku Semai telah membina pondok di kawasan yang dikhaskan untuk pembinaan stesen janakuasa.

Seorang penduduk lain, Udatiah Bahadim, 55, mendakwa bahawa pada 2017 kontraktor telah merobohkan tanah perkuburan leluhur mereka sehingga memusnahkan kira-kira 40 hingga 50 kubur.

Udatiah Bahadim mendakwa pada 2017 kontraktor merobohkan tanah perkuburan leluhur mereka sehingga memusnahkan kira-kira 40 hingga 50 kubur. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Februari, 2020.

“Para kontraktor telah membina jalan balik dari RTC Mydin ke tapak projek dan telah membongkar tanah perkuburan yang telah wujud di kawasan itu selama beberapa dekad.

“Walaupun kami beritahu mereka terdapat kuburan di sana, mereka tidak peduli dan tetap bongkar dengan mengatakan bahawa mereka mendapat perintah daripada kerajaan negeri.

“Kenapa mereka tidak alihkan jalan raya, adakah ini caranya kami dilayan sekarang? Ini tidak adil kepada kami.”

Jamahuri Ahmad Japilos, 38, yang menguruskan syarikat pengembaraan air tawar, Gopeng Adventure, berkata mereka masih ragu-ragu mengenai projek itu.

“Pada mulanya kami tidak mahu apa-apa pembangunan di sini, tetapi kami putuskan untuk berkompromi apabila mereka (Perak Hydro) beritahu tentang penggunaan teknologi hijau dan mereka tidak akan benarkan pembalakan di sekitar kawasan itu.

“Kalau ada pembalakan maka akan menghancurkan sungai-sungai di sini, persekitaran dan perniagaan pelancongan eko di sini.

“Mereka janji kepada kami semua, jika mereka tidak ikut apa yang telah mereka janjikan maka kami akan protes lagi.” – 3 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen