AirAsia nafi siasatan Britain berhubung skandal rasuah


Ragananthini Vethasalam

Syarikat itu menafikan laporan berita yang memetik dokumen mahkamah bahawa perjanjian pesanan pesawat tertentu "tidak wajar" dikaitkan dengan penajaan pasukan sukan yang dikaitkan dengan eksekutifnya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2020.

AIRASIA menafikan bahawa ia sedang disiasat Jabatan Penipuan Berat (SFO) Britain berkaitan skandal dengan syarikat pengilang kapal terbang, Airbus SE, dan mengatakan ia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu.

“Pada mulanya, AirAsia ingin menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak terlibat dalam apa-apa cara dengan siasatan SFO mengenai Airbus dan tidak diberi peluang untuk memberikan sebarang penjelasan kepada SFO,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat itu menafikan laporan berita yang memetik dokumen mahkamah bahawa perjanjian pesanan pesawat tertentu “tidak wajar” dikaitkan dengan penajaan pasukan sukan yang dikaitkan dengan eksekutifnya.

“AirAsia dengan tegas menolak dan menafikan semua dakwaan salah laku,” katanya.

Syarikat penerbangan itu berkata ia akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dan pihak berkuasa yang berkaitan apabila diperlukan.

Ia turut menambah bahawa ia akan memantau perkembangan dan akan mengkaji apa-apa tuduhan atau kesimpulan negatif yang dikaitkan dengan eksekutifnya sehingga menjejaskan syarikat.

“AirAsia amat prihatin bahawa tuduhan-tuduhan ini akan memberi kesan buruk dan negatif terhadap jenama, reputasi dan hubungan muhibah AirAsia,” katanya.

Ia menjelaskan bahawa perjanjian pembelian bagi setiap pesawat secara kolektif dibuat oleh ahli lembaga melalui penilaian yang teliti, perbincangan dan mengambil kira spesifikasi teknikal, prestasi penerbangan pesawat dan ekonomi operasi dan bukan keputusan individu.

“Kelebihan dan kebolehpercayaan pesawat dan harga yang semakin menarik ditawarkan untuk mengekalkan daya saing kami dalam perniagaan syarikat penerbangan adalah pertimbangan utama,” katanya.

“Sebagai pelanggan Airbus sejak tahun 2005, AirAsia tidak pernah membuat keputusan pembelian yang berasaskan penajaan Airbus,” katanya.

“Kami juga ingin menekankan bahawa semua rundingan dan urusan yang membawa kepada penandatanganan perjanjian pembelian pesawat telah dilakukan secara langsung dengan Airbus secara terperinci, dan tanpa penglibatan pihak ketiga atau perantara.”

Katanya, para eksekutifnya telah menguruskan kontrak dengan pihak berkepentingan dengan tekun dan sentiasa menjalankan operasinya dengan jujur. – 1 Februari, 2020.`

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan berhubung skandal AirAsia-Airbus yang dibangkitkan mahkamah Britain.

Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata dalam satu kenyataan bahawa badan anti-rasuah itu kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa UK dan kini sedang menyiasat perkara itu.

“Di bawah Akta SPRM kita diberi kuasa, dan mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat apa-apa perbuatan rasuah yang dilakukan oleh mana-mana warganegara Malaysia atau pemastautin tetap di mana-mana tempat di luar Malaysia,” katanya.

AirAsia dan AirAsiaX dinamakan dalam dokumen mahkamah di Britain sebagai penerima rasuah US$50 juta (RM240 juta) dari pembekal pesawat Eropah Airbus SE.

Dokumen tersebut, sebahagian daripada penyelesaian berbilion dolar antara pengilang pesawat dan pihak berkuasa anti-rasuah di Britain, Perancis dan Amerika Syarikat, menyatakan bahawa dua pengarah dan/atau pekerja syarikat pengangkutan udara kos rendah dan unit jarak jauhnya telah dibayar sejumlah wang untuk Airbus bagi menjamin kontrak melalui orang tengah untuk menjual pesawatnya di seluruh dunia.

Dalam penyelesaian tersebut, Airbus bersetuju untuk membayar hampir €1 bilion (RM4.5 bilion) di UK, €2.1 bilion di Perancis dan €530 juta di AS.

Dokumen-dokumen yang dilihat The Malaysian Insight menyatakan Airbus membayar sejumlah US$50 juta (RM204 juta) dan menawarkan lebih daripada US$ 55 juta untuk menaja pasukan sukan yang dikaitkan dengan dua “pembuat keputusan utama” di AirAsia dan AirAsiaX. – 1 Februari, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen