KERAJAAN Pakatan Harapan (PH) perlu menumpukan perhatian untuk meningkatkan ekonomi negara pada tahun ini, kata Anwar Ibrahim.
Presiden PKR itu bagaimanapun berkata usaha itu tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kepada statistik.
“Ianya (meningkatkan ekonomi) bukan tentang jumlah pelaburan (yang dibawa masuk).
“Ia perlu diukur dengan cara rakyat boleh dibantu terutamanya kumpulan berpendapatan rendah, miskin bandar dan luar bandar tanpa mengira kaum mereka,” katanya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina PH Sarawak di Kuching hari ini.
“Apabila kita (kerajaan) bercakap tentang kemajuan dan pembangunan, kita perlu mengingati perihal rakyat biasa.
“Bukan sekadar statistik atau prestasi pasaran saham.
“Persoalannya, bagaimana kita boleh membantu meringankan masalah dan kehidupan rakyat miskin.”
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata konsep PH dalam pembangunan adalah tidak menguntungkan hanya segelintir pihak seperti dilakukan kerajaan terdahulu Barisan Nasional (BN).
Katanya beberapa pemimpin BN kini terpaksa mempertahankan diri atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Anwar turut mengulangi komitmen PH untuk mentadbir dengan baik, menolak segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa.
Katanya PH mahu memastikan setiap rakyat termasuk golongan miskin di luar bandar diberi bantuan dan perlindungan secara saksama.
“Mentadbir amat penting. Kita menang pilihan raya umum kerana rakyat percaya PH akan menghapuskan kronisme dan menjaga kebajikan rakyat.”
Mengulas tentang politik perkauman, Anwar berkata amalan itu merupakan tindakan politik yang terdesak, tidak mempunyai kekuatan, moral dan integriti.
“Perkauman jalan terakhir untuk mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya merujuk kepada pihak yang mengkritik PH kerana melupakan hak istimewa orang Melayu dan tunduk kepada tekanan orang Cina yang menguasai ekonomi.
“Dalam PH, kita akan terus melindungi semangat Perlembagaan. Tetapi negara ini juga perlu membantu kaum lain,
“Ia merupakan soal kemanusiaan dan merupakan ajaran dalam Islam.”
Anwar berkata Islam mengajar untuk mengenali dan menghormati semasa manusia tidak kira kaum atau agama.
Katanya jika ada pihak yang mahu mencetuskan ketegangan kaum, ia hanya dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
“Mereka adalah golongan yang mempertahankan kronisme, rasuah dan berfikiran sempit.” – 1 Februari, 2020.
Komen