M INDIRA Gandhi akan memfailkan saman sivil berjumlah RM100 juta terhadap Ketua Polis Negara (KPN) Abdul Hamid Bador dan tiga yang lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu depan, kerana gagal mengesan anak perempuannya.
Anak kepada bekas guru tadika itu berusia 11 tahun ketika dilarikan oleh bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah lebih 11 tahun lalu.
“Saman sivil akan difailkan minggu depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap empat individu ... salah seorang daripada mereka adalah KPN,” kata Pengerusi Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) Arun Doraisamy pada sidang akhbar hari ini.
Selain Hamid, tiga pihak yang lain adalah Polis Diraja Malaysia, pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk mencari Prasana Diksa yang diketuai oleh Pengarah CID Bukit Aman Huzir Mohamed dan kerajaan Malaysia.
Polis menubuhkan pasukan petugas untuk mencari Riduan dan Prasana pada April lalu tetapi tiada perkembangan dilaporkan sejak itu.
Peguam Indra, Rajesh Nagarajan, sebelum ini berkata saman sivil itu berasal daripada kenyataan bahawa terdapat perintah mahkamah terhadap KPN untuk kembalikan Prasana, yang kini berusia 12 tahun.
“KPN gagal, enggan atau mengabaikan untuk memulangkan anak itu. Oleh itu, beliau gagal melaksanakan perintah mahkamah.
“Oleh itu, kami memfailkan saman terhadap KPN bagi ganti rugi berdasarkan alasan beliau tidak melaksanakan tugasnya.”
Seorang lagi peguam dalam pasukan itu, Sachpreetraj Singh Sohanpal, berkata sudah lebih 10 tahun sejak Indira terpisah daripada anaknya. – 1 Februari, 2020.
P
Komen