Sukarelawan banjir Bukit Mertajam


Diyana Ibrahim

Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan tertidur keletihan selepas kediaman mereka dinaiki air. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 November, 2017.

SEBAIK saja Azim Afif, melihat sebaran mesej di whatsapp mengenai bantuan banjir di Pulau Pinang semalam, tanpa melengahkan masa pemuda berasal dari Kulim, Kedah itu membawa kenderaan pacuan empat rodanya menuju ke Pulau Pinang untuk menawarkan diri menjadi sukarelawan.

Menjadi sukarelawan bagi membantu mangsa bencana menjadi rutin biasa bagi pemuda itu yang biasanya bergerak sendiri tanpa di bawah mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Macam banjir di sini saya dapat tahu melalui WhatsApp dan terus datang ke sini.

Azim berkata pengalamannya yang pernah menjadi sebahagian mangsa terperangkap semasa gempa bumi di Nepal sewaktu misi menawan gunung Everest tiga tahun lalu membuatkan dirinya lebih bertekad untuk lebih komited dalam kerja- kerja sukarelawannya.

“Sebab saya pernah berada dalam situasi tersebut bila kita jadi mangsa bencana masa itu susahnya kita nak minta tolong, panggil helikopter, helikopter tak nak datang.

“Jadi saya dapat faham macam mana kesusahan tersebut,” katanya yang menceritakan pengalamannya.

Sama seperti Azim, seorang lagi sukarelawan yang hanya mahu dikenali sebagai Ridzwan turut bergerak secara sendirian.

“Kita biasa tidak berada di bawah mana-mana kumpulan NGO, cuma kita ada kumpulan WhatsApp misalnya alumni, kelab jadi dari situ kita akan dapat maklumat mana-mana pihak yang memerlukan bantuan,” katanya.

Memiliki pacuan empat roda, Ridzwan berkata bentuk bantuannya ialah lebih kepada logistik dimana memberi tumpuan dalam operasi memindahkan mangsa dan menghantar barang ke kawasan yang tidak boleh dilalui kereta biasa.

Ridzwan  telah lama bergiat aktif menjadi sukarelawan terlibat dalam misi bantuan bencana seperti  banjir besar di Kelantan.

Mesej bantuan Ahli Parlimen Bukit Mertajam

Semalam, taburan hujan yang luar biasa telah meneggelamkan Pulau Pinang termasuk Bukit Mertajam yang sebahagian kawasannya turut dinaiki air.

Ahli Parlimennya Steven Sim telah terlibat menggerakan kerja-kerja pemindahan penduduk ke pusat penempatan sementara di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Prai sejak dari malam kelmarin.

“Bagaimanapun saya mengesan sesuatu tidak kena yang saya rasa ini bukan banjir biasa dan kita sangat perlukan sumber bantuan.

“Jadi, pada awal pagi itu saya telah menghantar satu mesej kecemasan memohon bantuan sukarelawan  yang disebarkan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya tidak lama selepas mesej itu disebarkan, beliau menerima panggilan tidak putus-putus yang secara sukarela menawarkan bantuan.

“Saya agak terharu dan amat berterima kasih kepada segala respon yang saya terima. Sehingga kini, kita telah berjaya mengumpulkan saya kira lebih kurang 100  kenderaan pacuan empat roda dan beberapa lori untuk meletakkan makanan.”

Malah beliau turut mengakui, bencana di Pulau Pinang telah membuka matanya melihat bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik boleh bersatu dalam tragedi tersebut.

“Saya melihat dengan mata sendiri bagaimana seorang lelaki Melayu yang menyorong kerusi roda  lelaki Cina seperti dia membawa bapanya.

“Bila saya melihat itu hati saya rasa amat tersentuh, bahawa rakyat Malaysia ini tidak kira Melayu ke Cina atau India tapi mereka akan datang tampil  menghulurkan bantuan, sebab itu saya amat terharu.”

Katanya kini beliau dan pasukannya telah berjaya menangani isu sumber tenaga sukarelawan.

“Sekarang ini kita dalam proses menghantar bantuan, kerana cabaran dan kebimbangan sebenarnya ramai lagi yang terperangkap. 

“Saya boleh kira cuma 10 peratus sahaja sebenarnya yang datang ke pusat penempatan ini.”

Rumah dinaiki air ketika adakan kenduri tahlil

Bagi keluarga Ramlah Mahmood, 65 mereka sepatutnya mengadakan kenduri tahlil untuk arwah emaknya dan tidak disangka rumahnya dinaiki air begitu cepat.

“Ketika itu rumah memang tengah ramai orang yelah kita jemput semua sedara mara, jiran untuk kenduri dan tiba- tiba air naik.”

Katanya air naik terlalu cepat dan tidak sempat untuk mereka menyelamatkan barangan dan makanan.

“Memang habis macam itulah, semua makanan, masa air naik semua lari. Dalam 10 minit  terus naik ke paras lutut dan selepas itu surut balik.

“Tapi kemudian kira- kira jam 11 malam air naik balik kali lagi tinggi sampai paras dada. Nasib kita duduk atas rumah (rumah dua tingkat) jadi memang nasib baiklah.”

Rahimah berkata dia dan keluarganya diselamatkan pihak bomba keesokannya kira- kira jam 11 pagi.

Keluarga Rahimah merupakan antara 83 keluarga yang ditempatkan di pusat penempatan sementara bagi kawasan Bukit Mertajam yang terjejas akibat banjir.

Manakala seorang lagi mangsa banjir Ang Siew Wee, 40 berkata berdepan dengan situasi sukar ketika rumahnya dinaiki air kerana terpaksa menyelamatkan suaminya yang tidak boleh berjalan dan anak-anaknya.

“Ketika itu yang saya fikir untuk selamatkan suami, sebab dia tak boleh jalan duduk dekat kerusi roda.

“Anak pun menangis masa itu, memang saya betul dalam keadaan panik, sebab terpaksa lakukan semua sendiri dan air pula naik dengan begitu deras.

Kata Ang, air deras mula memasuki rumahnya kira-kira jam 9.00 malam dan ketika jam 11 malam air telah mencapai paras dada.

“Memang saya tak sempat untuk selamatkan barang- barang buku anak, pasport, sijil semua habis, kita nak lari bawa kereta pun tak boleh sebab air dah naik,” katanya yang diselamatkan pasukan Rela kira - kira jam 2 pagi,” kata Ang yang duduk di Taman Sungai Rambai. – 6 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen