JAWATANKUASA Pengurusan Bencana Sarawak menjelaskan larangan kemasukan pelajar dari China yang kembali untuk meneruskan pengajian selepas pulang untuk sambutan Tahun Baharu Cina hanya terpakai kepada mereka dari wilayah Hubei.
Dalam pengumuman terbaharu, jawatankuasa itu berkata larangan berkenaan dikuat kuasa susulan kebimbangan penularan wabak koronavirus sejajar dengan keputusan yang diambil oleh Putrajaya.
Kerajaan persekutuan pada Selasa, menggantung semua kemudahan imigresen untuk warga China yang berasal dari Wuhan dan wilayah Hubei sebagai sebahagian daripada langkah untuk membendung penularan jangkitan koronavirus.
Menurut jawatankuasa itu, pelajar dari bahagian lain di China dibenarkan masuk ke negeri berkenaan namun perlu dikuarantin selama 14 hari di tempat tinggal mereka di negara ini.
Mengenai borang pengisytiharan kesihatan yang diberi kepada semua pelawat dan penumpang ke Sarawak, jawatankuasa itu berkata ia dikuatkuasa di bawah Ordinan Kesihatan Awam Negeri 1999.
Borang berkenaan akan diberikan kepada semua pelawat dan penumpang dan perlu diserahkan kepada pegawai imigresen di pintu masuk ke negeri itu bersama dokumen perjalanan.
Jawatankuasa itu menyatakan, pegawai imigresen boleh merujuk pengunjung atau penumpang kepada pegawai perubatan jika mengesyaki terdapat gejala jangkitan virus.
Wabak koronavirus setakat ini meragut lebih 250 nyawa di China dan menjangkiti lebih 11,000 orang di 27 negara. – 1 Februari, 2020.
Komen